Barcelona: Penjaga gol Barcelona, Marc-Andre ter Stegen selamat menjalani pembedahan selepas mengalami kecederaan tendon patella di lutut kanannya, umum kelab La Liga itu, awal pagi tadi.
Pemain antarabangsa Jerman berusia 32 tahun itu cedera ketika Barca menang 5-1 di Villarreal, Ahad lalu dan dijangka berehat sekurang-kurangnya lapan bulan, lapor media Sepanyol.
“Ter Stegen menjalani pembedahan yang berjaya susulan kecederaan tendon patella di lutut kanannya oleh Dr Joan Carles Monllau di bawah penyeliaan perkhidmatan perubatan kelab di Hospital Barcelona,” menurut Barcelona dalam satu kenyataan.
Ter Stegen terjatuh dalam keadaan teruk selepas melompat untuk menangkap bola sebelum rehat dan kelihatan berada dalam kesakitan ketika diusung ke luar padang.
Badannya menghempap lutut kanan yang pernah dibedah dua kali pada musim 2019-20 dan 2020-21.
Penjaga gol gantian Inaki Pena akan mengisi tempat Ter Stegen ketika pasukan kendalian Hansi Flick berdepan Bayern Munich dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah (UCL), bulan depan dan juara bertahan, Real Madrid dalam La Liga.
Pena, 25, yang menyertai akademi La Masia Barcelona sedekad lalu, melakukan 17 penampilan pasukan utama musim lalu selepas Ter Stegen mengalami satu lagi kecederaan lutut.
Selepas bermula dengan baik musim lalu termasuk kemenangan Barca 1-0 ke atas Atletico Madrid dan 2-1 mengatasi Porto, Pena bolos 31 gol dalam 15 perlawanan berikutnya dan hanya dua perlawanan tidak bolos dalam tempoh itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




