Tokyo: Pelari pecut sensasi Amerika Syarikat, Noah Lyles mengakui belum pasti untuk mengambil bahagian dalam kejohanan sulung Ultimate tahun depan, sekali gus memberi tamparan besar kepada acara baharu anjuran Olahraga Dunia (WA) itu.
Segar selepas merangkul gelaran dunia keempat berturut-turut dalam acara 200 meter (m), atlet berusia 28 tahun itu berkata kepulangannya ke Budapest pada September depan, lokasi dia pernah meraih gelaran berganda pada Kejohanan Dunia 2023, masih belum dapat dipastikan.
“Saya dan WA masih berbincang sama ada saya akan sertai Ultimate atau tidak,” katanya kepada Reuters ketika ditemui di ibu pejabat Adidas Tokyo, semalam.
“Mereka kata mahu babitkan atlet dengan lebih aktif. Kami akan adakan lebih banyak perbincangan selepas ini mengenai apa maknanya untuk kami.”
Kejohanan itu diperkenalkan badan induk olahraga dunia bagi mengisi kekosongan tahun tanpa temasya besar seperti Olimpik atau Kejohanan Dunia.
Ia menawarkan dana hadiah AS$10 juta (RM47 juta), dengan pemenang membawa pulang AS$150,000 (RM705,000), ganjaran tertinggi dalam sukan itu setakat ini.
Acara yang dijadual berlangsung dari 11 hingga 13 September itu hanya menampilkan final berintensiti tinggi membabitkan juara dunia, Olimpik dan pemenang Liga Berlian, tanpa sebarang pusingan saringan.
Namun, ketiadaan nama besar seperti Lyles pasti memberi kesan besar kepada penganjuran edisi sulung itu.
Di sebalik teka-teki penyertaannya, Lyles kekal tenang dan santai, jauh berbeza dengan aksi garangnya di garisan permulaan 200m apabila tampil dengan gaya rambut berwarna perang dan sorakan penuh semangat.
“Itu jeritan perang saya. Saat di mana anda tahu anda ada segalanya untuk menolak tubuh ke tahap maksimum,” jelasnya.
Sorakan itu terbukti berkesan apabila Lyles menewaskan rakan senegara, Kenny Bednarek untuk menang dengan catatan 19.52 saat.
Bednarek, 26, sekali lagi berputih mata dengan pingat perak global keempatnya, seakan mengulangi nasib Justin Gatlin yang pernah beraksi dalam bayangan Usain Bolt.
© New Straits Times Press (M) Bhd




