LZJ anggap semua pemain tiada kelebihan

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia menganggap bahawa tiada pemain mempunyai kelebihan apabila beraksi pada Yonex Terbuka Thailand dan Toyota Terbuka Thailand di Bangkok bulan depan.

Selepas 10 bulan tanpa aksi kompetitif, jaguh nombor satu negara itu berkata bahawa hampir semua pemain pastinya perlu bermula daripada kosong.

“Saya sendiri pun perlu lupakan apa yang berlaku ketika Seluruh England pada Mac lalu (mara sehingga separuh akhir). Saya perlu kembali fokus kerana bukan saya sahaja tetapi semua pemain sudah lama tidak beraksi dalam kejohanan”, katanya.

“Ini adalah kali pertama semuanya mengalami situasi seperti ini dan sukar untuk kita ramal”, katanya lagi.

Berdasarkan undian dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Zii Jia akan mengharungi laluan berbeza dalam kedua-dua kejohanan tersebut.

Dalam saingan Yonex Terbuka Thailand yang dijadual pada 12 hingga 17 Januari, pemain ranking ke-10 dunia itu akan turun sebagai pilihan kelapan dan berjaya menghindarkan diri daripada pertemuan menentang jaguh nombor satu dunia dari Jepun, Momota di pusingan awal.

Zii Jia yang bakal memulakan aksi menentang pemain India, HS Prannoy cuma akan berdepan Momota andai mereka berdua mara ke perlawanan akhir.

Dalam pada itu, laluan Zii Jia lebih mencabar pada saingan Toyota Terbuka Thailand yang diadakan pada 19 hingga 24 Januari kerana perlu berdepan Momota lebih awal jika masing-masing layak ke separuh akhir.

Tambahan pula, Anders Antonsen iaitu pemain nombor tiga dunia dari Denmark juga berada dalam laluannya untuk ke separuh akhir apabila mungkin dijangka bertembung di peringkat suku akhir.

Bagi kejohanan itu pula, Zii Jia akan membuka tirai saingan menentang pemain India, Sameer Verma.

Sebagai makluman, kedua-dua kejohanan itu merupakan peluang terakhir bagi semua pemain untuk mengutip mata agara layak ke Jelajah Dunia Akhir BWF yang juga diadakan di Bangkok pada 27 hingga 31 Januari.

Cuma lapan pemain teratas ranking Jelajah Dunia Akhir sahaja layak ke kejohanan akhir musim 2020 itu dengan Zii Jia ketika ini berada di kedudukan ke-10.

“Memang sasaran utama saya adalah layak ke saingan Jelajah Dunia Akhir. Namun, saya tidak mahu terlalu fikir mengenai perkara itu dulu, saya mahu fokus satu demi satu perlawanan”, ujarnya.

Sumber: BH Online

Akmal Hakim
Sports Desk

Scroll to Top