am@hmetro.com.my
Jerlun: Anak sulung suami isteri yang maut dalam kemalangan selepas Proton Iswara ditemui dalam terusan di Sungai Korok, semalam ditawarkan pengajian sepenuhnya oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).
Penolong Ketua Pegawai Agihan LZNK, Yusof Ahmad berkata, Puteri Qisya Nur Izzat, 12, ditawarkan menyambung persekolahan dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5 di Sekolah Zakat Kedah, di bawah seliaan penuh pihak LZNK.
Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya berserah sepenuhnya kepada Puteri Qisya dan keluarganya untuk menerima tawaran itu.
“Ini adalah sebagai salah satu inisiatif jangka panjang untuk satu-satunya anak pasangan suami isteri itu yang tinggal untuk meneruskan kehidupannya.
“Hari ini kami datang ziarah Puteri Qisya kerana arwah ibunya, Nurul Hidayah Khalijah Razman Efendi, 31, juga adalah bekas pelajar bawah LZNK.
“Kami turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM1,000 serta kit makanan asas bagi meringankan beban keluarga mangsa yang masih bersedih dengan kejadian itu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Hadir sama, wakil Pusat Pengurusan Sedekah dan Wakaf Zakat Kedah, Pejabat Zakat Daerah Kubang Pasu serta pengurusan Sekolah Zakat Kedah.
Sementara itu, Puteri Qisya ketika ditemui berkata, setakat ini dia belum bersedia untuk menerima tawaran itu.
Media sebelum ini melaporkan, enam beranak ditemukan dalam sebuah kereta Proton Iswara di Sungai Korok, semalam, selepas dilaporkan hilang sejak awal pagi Sabtu lalu.
Kesemua jenazah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit, Jerlun, semalam.
- KPM beri bantuan terbaik buat anak sulung mangsa tragedi Sungai Korok
- Jenazah enam beranak selamat dikebumikan berhampiran pusara Jebat Haydar
- ‘Kami tidak berhenti cari abang, isteri dan empat anaknya sejak mereka hilang’
- ‘Saya mimpi ayah cakap jangan sedih, jaga kakak dari jauh’
- Identiti 6 beranak lemas sudah dikenal pasti
- Semua mangsa ditemukan di bahagian kiri kereta, dipercayai cuba untuk keluar
- Mayat 6 sekeluarga ditemui dalam kereta di Sungai Korok
- Kereta tenggelam di Sungai Korok
- 6 beranak tidak pulang, gagal dihubungi cetus keresahan keluarga
© New Straits Times Press (M) Bhd