mohamadridzuan@hmetro.com.my
Subang Jaya: Pelakon dan pengarah M Jamil menegaskan dia akan melepaskan isterinya, Sharila Markom sekiranya perbincangan berkenaan hak penjagaan anak mereka, Sarimah Salma, 11, dan Laila Jamila, 9, selesai.
M Jamil atau Mohamad Jamil Zulkifli, 62, berkata, prosiding tuntutan cerai oleh Shahrila akan disebut semula di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 28 September ini.
M Jamil juga sudah melantik peguam unruk mewakilinya.
“Saya tiada masalah untuk ceraikan dia. Cuma masalah utama sekarang kami tiada komunikasi. Saya tak dapat bercakap dengan dia sejak dia tinggalkan rumah pertengahan Disember lalu.
“Bagaimanapun saya harap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik oleh peguam untuk kebaikan kedua-dua belah pihak,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya.
Pada masa sama, M Jamil tidak berselindung untuk berkahwin lagi sekiranya bertemu jodoh sesuai.
“Saya sebenarnya nak cari teman hidup. Maknanya saya masih mampulah. Ada duit simpanan sikit. Ada rumah, okey. Kalau tak ada rumah, ada makan, okey.
“Kalau dari segi nafkah batin itu, Wallahualam…Saya tak ‘expect’ usia berapa. Cuma saya nak cari teman untuk bercakap, untuk melayan saya makan, tidur malam. Itu maksudnya.
Menurutnya, kriteria yang dicari ialah ibu tunggal yang tidak mempunyai anak kerana dia sendiri sudah memiliki 11 anak.
“Sebenarnya saya dah mula kumpul wang untuk menunaikan haji tahun depan. Saya cadang nak bawa isteri sekarang tapi dah jadi begini pula. Tak apalah mungkin ada bahagian isteri saya yang lain nanti.
“Mana tahu kan. Umrah saya dah buat, cuma haji sahaja belum. Itu niat dan hadiah buat isteri jika berkahwin nanti. Saya ingat nak kahwin kali terakhir jika panjang umur.
“Saya sekarang tengah tunggu pembahagian harta pusaka tanah di Kampung Pulau Rusa, Pahang. Emak saya (Datuk Sarimah) tengah uruskan dengan adik beradiknya.
“Ia masih dalam proses dan kalau ada, saya nak buat rumah dan hidup di kampung bersama isteri,” katanya.
M Jamil yang mengalami strok sejak lapan tahun lalu dan baru sahaja menjalani pembedahan memotong kaki kiri paras lutut akibat diabetes kini tinggal bersama dua anaknya di Subang Jaya, Selangor.
© New Straits Times Press (M) Bhd


