MAA minta kerajaan percepat semakan cukai eksais OMV

MAA minta kerajaan percepat semakan cukai eksais OMV

Kuala Lumpur: Persatuan Automotif Malaysia (MAA) hari ini menggesa kerajaan menyegerakan usaha membuat keputusan serta komunikasi berkaitan pelaksanaan peraturan cukai eksais baharu di bawah PU(A) 402/2019 – Peraturan Cukai Eksais (Penetapan Nilai Barangan Buatan Tempatan untuk Duti Eksais).

Presiden MAA Mohd Shamsor Mohd Zain berkata sebarang penangguhan serta kekaburan proses membuat keputusan berkaitan semakan duti eksais mengikut penilaian pasaran terbuka (OMV) akan hanya mendorong kenaikan harga kereta sehingga mencecah 30 peratus.

Beliau berkata pihak industri masih menunggu butiran rasmi mengenai kaedah pengiraan duti import serta eksais yang akan dilaksanakan mulai Januari 2026.

“Sudah pasti kami akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan dan berharap perkara itu diteliti secepat mungkin. Tempoh lima bulan seterusnya adalah amat singkat bagi sebarang maklum balas berkaitan pengeluaran.

“(Ini kerana) apabila merujuk aspek rantaian bekalan, ia melibatkan impak keseluruhan logistik dan lebih daripada itu. Kami perlukan sekurang-kurangnya minimum enam bulan bagi menyesuaikan diri terhadap sebarang perubahan.

“Sehubungan itu, kami berharap untuk mendapat sebarang perkembangan mengenai langkah seterusnya secepat mungkin,” katanya selepas acara Tinjauan Prestasi Pedagang dan Pengeluar Kenderaan bagi Separuh Pertama Tahun 2025 di sini, hari ini.

Mohd Shamsor juga menegaskan sejajar dengan keperluan di bawah PU(A) 402/2019 serta peraturan berkaitan dan Akta Kastam, formula semasa perlu disemak semula bagi memastikan pelaksanaan yang adil dan telus.

Bagaimanapun, beliau yakin Kementerian Kewangan (MOF) akan meneliti perkara itu dengan lebih proaktif bagi meminimumkan atau mengelak sebarang kesan ke atas industri.

Pada masa sama, Mohd Shamsor mengakui masa yang semakin suntuk dan tempoh berbaki kira-kira lima bulan sebelum pelaksanaan semakan itu adalah tidak memadai bagi membolehkan pengeluar memberi maklum balas, terutama dari segi rantaian bekalan serta logistik.

“Kami memerlukan tempoh sekurang-kurangnya enam bulan untuk membuat pelarasan sedia ada dan amat berharap mendapat sebarang perkembangan baharu mengenai langkah seterusnya secepat mungkin,” katanya.

MOF pada Februari lepas telah menafikan laporan media mengenai kemungkinan harga kenderaan di Malaysia meningkat mendadak mulai 2026 susulan pelaksanaan peraturan cukai eksais baharu di bawah PU(A) 402/2019.

Sambil menyifatkan laporan berkenaan sebagai tidak tepat, kementerian itu berkata pihaknya dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang mengkaji kaedah penilaian kenderaan berkenaan bagi memastikan pelaksanaan cukai yang lebih adil, berkecuali serta konsisten.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top