KAMPOT, KEMBOJA – Sebuah sekolah menengah agama, Maahad Imam Syafi’e Kampung Keh di sini bukan sahaja menjadi pusat pendidikan agama, malah berjaya melahirkan golongan profesional dan tenaga mahir.
Naib Presiden Eksekutif Syariah Kumpulan Bank Rakyat, Mohd Zamerey Abdul Razak berkata, sekolah berkenaan dibangunkan secara berperingkat hasil sumbangan individu dan institusi luar negara khususnya Malaysia, selain bantuan pihak lain yang prihatin terhadap pembangunan pendidikan Islam di kawasan itu.
“Maahad Imam Syafi’e mula beroperasi pada 2011 dengan hanya tiga kelas dan kira-kira 90 pelajar sebelum berkembang kepada bangunan tiga tingkat serta menempatkan lebih 260 pelajar berusia 13 hingga 18 tahun pada masa ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Maahad Imam Syafi’e Kampung Keh di sini dalam program Kembara Korban Kemboja Bank Rakyat 2026 pada Khamis.
Mohd Zamerey berkata, maahad tersebut mempunyai seramai 25 guru agama yang mengajar secara tetap.
“Manakala 22 guru akademik daripada Kementerian Pendidikan Kemboja pula mengajar secara sambilan dan dibayar mengikut jumlah jam kredit pengajaran,” katanya.
Menurutnya, kebanyakan pelajar datang daripada keluarga nelayan dan petani yang hidup dalam serba kekurangan di kawasan pedalaman.
“Ada ibu bapa yang hanya bergantung kepada hasil tangkapan harian atau pendapatan kecil daripada bercucuk tanam untuk menyara keluarga, menyebabkan peluang pendidikan anak-anak sangat terbatas,” katanya.
Beliau berkata, pelajar di maahad itu turut ditanggung sepenuhnya secara percuma termasuk asrama dan makan minum.
“Walaupun serba kekurangan pada peringkat awal termasuk kemudahan asas yang terhad, sekolah itu terus dibangunkan sedikit demi sedikit sehingga mampu menyediakan sistem pendidikan lebih lengkap.
“Sekolah berkenaan menggabungkan pendidikan akademik dan agama menerusi sistem integrasi yang merangkumi pembelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Arab serta Bahasa Inggeris,” katanya.
Menurutnya, pendekatan itu membuka peluang kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan di Indonesia, Thailand, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Malaysia.
“Antara matlamat utama maahad ini ialah melahirkan generasi berilmu yang bukan sahaja memahami agama, tetapi turut menjadi golongan profesional dan mampu mengubah kehidupan keluarga mereka,” katanya.
Mohd Zamerey berkata, ada bekas pelajar maahad tersebut kini bekerja sebagai guru, kakitangan universiti tempatan dan bidang teknologi maklumat.
“Ada juga bekas pelajar yang menerima biasiswa untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan,” katanya.
Tambah beliau, setiap pelajar yang ingin memasuki sekolah tersebut perlu melalui ujian bertulis dan sesi temu duga bagi memastikan tahap kelayakan mereka.
“Kos operasi sekolah kini mencecah kira-kira AS$8,000 sebulan berbanding sekitar AS$2,000 ketika awal penubuhan, namun pihak pengurusan tetap komited menjaga kebajikan serta kualiti pendidikan pelajar.
“Pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Bank Rakyat dan institusi korporat turut membantu pembangunan sekolah termasuk pembinaan bangunan tambahan bagi menampung pertambahan pelajar,” ujarnya.



