Mabella idam gelaran 'mesin gol' TFC

Mabella idam gelaran 'mesin gol' TFC

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Penyerang baharu Terengganu FC (TFC), Yann idam untuk bergelar ‘mesin gol’ buat pasukan baharunya itu dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/2026.

Bekas pemain kelab Racing FC Union dalam Liga Luxembourg itu berkata, dia bagaikan tidak sabar untuk membuat penampilan pertama dalam saingan Liga Super pada musim pertamanya dalam saingan Liga M.

Bagaimanapun, pemain ‘berdarah’ Perancis berusia 29 tahun itu sedar cabaran dalam Liga M begitu mencabar terutama pasukannya bakal berdepan dengan beberapa pasukan ‘gergasi’ seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC dan kelab Brunei, DPMM FC.

Pada masa yang sama pasukan baharunya itu yang dikendalikan jurulatih meningkat naik, Badrul Afzan Razali juga turut mempunyai tiga lagi pemain import yang mampu menghasilkan jaringan iaitu Careca, Junior Sam dan Gabriel Silva.

“Bagi saya menyarung jersi TFC adalah satu cabaran baharu, ini kerana bagi setiap pemain apabila menyarung jersi pasukan lain, ia perlu meletakkan dirinya dalam kedudukan yang baharu dengan azam untuk memburu peluang yang baharu.

“Jadi TFC membuka peluang baharu kepada saya untuk meneruskan karier dalam sukan yang saya minati sejak kecil lagi, saya tidak akan melepaskan peluang yang diberikan ini begitu sahaja lebih-lebih lagi perjalanan yang jauh untuk saya tiba di Kuala Terengganu.

“Dengan peluang yang diberikan ini, sudah tentu saya berazam untuk konsisten dalam menghasilkan jaringan dalam setiap perlawanan sekali gus membantu pasukan meraih kemenangan,” ujar pemain yang lebih mesra dipanggil ‘Yann’ itu.

Ketika ditanya faktor dia memilih TFC dalam meneruskan kariernya berbanding kelab lain termasuk di Eropah, pemain berketinggian 1.82 meter yang pernah menyarung jersi enam kelab berbeza sebelum ini akui mahu menikmati pengalaman baharu di Asia Tenggara.

“Saya mula berjinak dalam sukan bola sepak ini ketika berusia 5 tahun sebelum meneruskan karier secara profesional pada usia 18 tahun, jadi dengan usia sebegini saya idam untuk mencari pengalaman yang baharu.

“Saya memilih untuk beraksi dalam Liga M selepas dimaklumkan oleh kenalan saya mengenai liga ini yang semestinya hebat dan mencabar, jadi selepas mendapat tawaran beraksi dalam Liga M, saya tidak menunggu lama untuk menyahut panggilan itu.

“Lagipun saya lihat pengurusan kelab TFC ini bagus selain penyokongnya begitu fanatik, jadi kelab ini adalah pilihan yang tepat untuk saya kembangkan lagi karier,” katanya.

Pada aksi pramusim berdepan Penang FC Selasa lalu, Mabella berjaya mencetak satu gol bagi memastikan pasukannya melakar kemenangan 3-1 menumpaskan skuad Harimau Kumbang itu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top