Macam-macam perasaan bermain di fikiran Yassin

Macam-macam perasaan bermain di fikiran Yassin

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Puncak Alam: Pelawak Yassin Yahya meluahkan perasaan amat bersyukur sebaik menjejakkan kaki ke tanah air pada jam 12.30 tengah malam, awal pagi Sabtu lalu.

Yassin yang bertolak dari Jeddah, Arab Saudi pada jam 10.30 pagi dari sana (3 petang waktu Malaysia) berkata, perasaan semasa dalam penerbangan sukar digambarkan.

“Sebabnya hari pertama saya dekat lokap, hari kedua dan hari ketiga pun rasa macam perasaan saya itu dah tak dapat nak balik ke Malaysia.

“Sebab sehari pun dah rasa macam sebulan, dua hari dan tentu rasa dua bulan dan begitu juga seterusnya. Tapi sekarang ini saya rasa hari terlalu singkat pula. Saya rasa macam semalam saja baru lalui semuanya,” katanya dalam temubual eksklusif dengan Harian Metro.

Yassin yang ditahan selama enam bulan di Pusat Pentadbiran Dan Pengusiran Warga Negara Asing di Jeddah memaklumkan, dia sendiri mulanya tidak tahu berapa lama akan ditahan di situ.

“Saya tak tahu berapa lama, setahun? dua, tiga tahun atau empat tahun? Macam-macam perasaanlah bermain di fikiran waktu itu.

“Jadi itulah…bila naik kapal terbang itu pun saya masih lagi berpeluh-peluh. Rasa macam eh, aku dah keluar lah. Bila sampai KLIA dan jejak kaki ke tanah air alhamdulillah perasaan saya bercampur-campur,” katanya.

Bercerita lanjut, Yassin berkata, pada awalnya dia dimasukkan dalam lokap sementara yang sangat padat.

“Lokap sementara itu seluruh kawasan mana-mana yang baru kena tangkap baik orang Arab, orang luar, dicampurkan sekali.

“Dalam lapan hari jugalah saya di situ. Dalam masa yang sama itu memang saya tunggu juga kalaulah ada siapa-siapa daripada agensi kita nak ambil tahu.

“Sebab mereka pun tak tahu kat mana saya. Hilang macam itu sahaja. Hilang dari radar katanya.

Sebab itu yang saya risau pasal isterilah (Farah Waheeda),” katanya.

Yassin berkata, dia tidak dapat menghubungi isterinya sedangkan mereka jarang terputus hubungan.

“Dia kalau saya hilang satu hari pun dia cari, apatah lagi macam ini. Dia nak menjawab lagi kepada orang-orang kan. Jadi saya mengharapkan agensi mutawif supaya datang melawat..

“Hari kesembilan pun tak ada dan saya dipindahkan. Sampailah hari ke-12, saya dah anggap mereka dah balik. Saya tahu mereka dah balik dan fikir takkanlah mereka ada di Jeddah lagi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top