Pelakon muda berbakat besar, Idan Aedan, bakal melakar sejarah apabila filem lakonannya, The Fox King, dipilih untuk tayangan perdana di Festival Filem Antarabangsa Toronto (TIFF) ke-50, minggu depan.
Idan, atau nama sebenarnya Muhammad Shahidan Abdullah, 21, mengakui tidak pernah menyangka dirinya berpeluang berada di salah satu festival filem paling berprestij dunia.
“Saya bersyukur sangat, rasa macam mimpi. Semua ini takkan jadi kenyataan tanpa kepercayaan pengarah kami, Woo Ming Jin,” katanya penuh teruja.
Lebih mendebarkan, Toronto juga akan menjadi lokasi pertama buat Idan menonton sendiri naskhah tersebut.
The Fox King yang bergenre coming of age memberi cabaran tersendiri buatnya kerana watak yang dibawa penuh lapisan emosi serta tidak menentu.
“Saya bukan lagi remaja, tapi terpaksa menghidupkan watak remaja. Harapan saya, lakonan ini mampu beri kesan mendalam dan paling penting, semoga The Fox King nanti dapat ditayangkan di Malaysia,” jelasnya ketika ditemui pada sidang media filem Abang Saya Uncle Mike, pada Selasa.
Ditanya sama ada peluang ini petanda awal untuk mencipta nama di pentas antarabangsa, Idan hanya mengukir senyuman.
“Dalam negara pun saya belum pernah dapat anugerah, apatah lagi Oscar. Tapi itu bukan matlamat saya. Fokus utama adalah untuk terus bermotivasi, kekal rendah diri dan hargai semua yang bantu saya sampai ke tahap ini,” ujarnya.
Filem The Fox King, hasil kerjasama Malaysia-Indonesia arahan pengarah prolifik Woo Ming Jin, turut menampilkan bintang hebat Indonesia, Dian Sastrowardoyo. Naskhah ini dijadualkan tayangan pada 9 dan 10 September di Toronto, Kanada.