'Macam pandu lori sebenar'

'Macam pandu lori sebenar'

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sanggup berbelanja puluhan ribu ringgit bagi menghasilkan replika lori kawalan jauh (RC) didorong minat mendalam terhadap lori dan jentera berat.

Juruteknik, Mohammad Ridzuan Mohd Tahir, 36, berkata, dia berkecimpung dalam hobi itu sejak 10 tahun lalu selepas membeli sebuah lori RC terpakai berharga RM4,500.

“Pada mulanya saya hanya ada satu koleksi. Namun atas minat mendalam, saya sanggup berhabis untuk mengumpul koleksi lori RC lain. Kini saya ada lapan koleksi.

“Antaranya ialah treler rendah, lori tangki minyak Shell, lori tunda, Bas Rapid Kuala Lumpur dua tingkat, jentera jengkaut, kereta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), traktor dan jentera bomba (masih dalam pembuatan) yang diinspirasi daripada model sebenar,” katanya, semalam.

Menurutnya, sebelum ini, dia sering bermain di kawasan lapang tanpa trek, tetapi tidak mendapatkan kepuasan diingini.

“Berikutan itu timbul idea mewujudkan kawasan trek khas di halaman rumah di Seri Kembangan.

“Saya melabur sekitar RM20,000 untuk membina trek ini. Tujuan saya menghasilkan dan menghias trek serta lori RC kerana saya ingin menjadikan suasana trek seakan-akan berada di dunia sebenar walaupun ia sekadar mainan.

“Kebiasaannya, setiap hujung tahun, saya menjemput seluruh komuniti pemain RC di Malaysia untuk mengadakan pertandingan seperti cara meletak kenderaan, cara mengundur dan sebagainya.

“Kepuasannya sukar digambarkan, apabila melihat rupa, pergerakan dan bunyi yang begitu realistik, membuatkan saya rasa seperti benar-benar memandu sebuah lori,” katanya.

Sementara itu, bagi pensyarah Politeknik Muadzam Shah dan rakan hobi, Mohd Helmi Salleh, 43, berkata tempoh menyiapkan model kenderaan berkenaan memakan masa selama tiga hingga lapan bulan.

“Cabaran siapkan model kenderaan adalah seperti mengambil masa lama, kos tinggi dan banyak tenaga kerja.

“Cetakan model 3D ini memerlukan masa lama untuk menggosok permukaan kabin supaya licin dan juga proses mengecat setiap bahagian model kenderaan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Helmi berkata, dia juga kadang-kala sering mengambil tempahan dalam pembuatan model kenderaan 3D di media sosial.

“Kalau ada yang nak tempah, kadang-kadang mereka tempah melalui TikTok,” katanya.

Mohd Helmi berkata, dia bersyukur hobinya disokong penuh keluarganya tanpa sebarang masalah.

“Alhamdulillah, ahli keluarga lain sangat memahami dan menyokong saya sepenuhnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top