Penyanyi dan pelakon, Andi Bernadee berkongsi pengalaman berdepan penyakit Graves iaitu gangguan autoimun yang menjadi punca hipertiroid yang dialaminya sejak dua tahun lalu.
Andi atau nama sebenar Andi Azrul Andi Mapangile, 35, berkata pada peringkat awal, beliau tidak menyedari keadaan tersebut serius dan menyangka simptom dialami hanya kesan tekanan kerja serta keletihan akibat jadual seni yang padat.
“Saya ingat mungkin ketika itu saya kena ‘anxiety’,” ujarnya.

Menurutnya, fasa awal penyakit itu menyaksikan beliau mengalami sesak nafas, degupan jantung laju serta kerap terjaga malam dalam keadaan berpeluh.
Segala simptom berkenaan pada awalnya disangka berpunca daripada tekanan menyiapkan album yang mengambil masa panjang untuk disiapkan.
“Masa itu saya anggap mungkin stress sebab sibuk dengan album,” kongsinya.

Namun keadaan semakin membimbangkan apabila tubuhnya mula menunjukkan perubahan ketara termasuk tangan dan kaki menggeletar, selain tidak tahan panas walaupun berada dalam bilik berhawa dingin.
Aktiviti harian turut terjejas apabila beliau sukar memegang telefon dengan stabil, malah pemanduan juga menjadi mencabar akibat anggota badan yang tidak stabil.
“Pegang telefon pun tangan menggigil, bawa kereta pun jadi susah,” ujarnya.
Dalam persembahan pentas pula, Andi berdepan gangguan pernafasan sehingga menjejaskan pergerakan dan fokus sepanjang persembahan.
“Bila buat persembahan, kaki saya menggeletar sepanjang masa,” katanya.

Dalam perkembangan terkini, pelantun lagu Donde itu memaklumkan tahap kesihatannya kini semakin stabil, namun masih menjalani rawatan dan pemantauan berkala di hospital.
Doktor sebelum ini mencadangkan pembedahan, namun beliau memilih rawatan ubat-ubatan sebagai langkah utama ketika ini.
Sekiranya pembedahan membuang kelenjar tiroid dilakukan, beliau perlu bergantung kepada ubat sepanjang hayat bagi memastikan fungsi badan kekal stabil.
“Kalau tidak makan ubat, saya tidak boleh bernafas, paru-paru boleh berhenti dan boleh membawa maut,” jelasnya.

Selain itu, Andi turut berdepan kesan sampingan lain termasuk masalah gusi bernanah serta mata kerap merah akibat tekanan pada bahagian mata.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat andaian terhadap perubahan fizikal seseorang tanpa mengetahui keadaan sebenar.
“Saya tidak salahkan mereka, tetapi tidak adil untuk terus membuat kesimpulan tanpa bertanya,” ujarnya.
Artikel lain: Berat badan turun hampir 20kg, Andi Bernadee nafi ambil bahan terlarang
Menurutnya, berat badan kini kembali stabil menghampiri 60 kilogram berbanding sekitar 45 kilogram sebelum ini hasil rawatan berterusan termasuk pemeriksaan darah berkala setiap bulan.
Dalam masa sama, beliau kekal fokus terhadap proses pemulihan serta perancangan kerjaya seni termasuk pelancaran album baharu yang dijangka tahun ini.




