Macam rumah contoh

Macam rumah contoh

hafizithnin@mediaprima.com.my

“Beberapa ahli keluarga bergurau mengatakan rumah ini kelihatan seperti kediaman inap desa kerana reka bentuknya yang menarik dan praktikal,” jelas pemilik kediaman 37 tahun ini kepada penulis.

Ternyata kediaman milik pasangan Ali Rukaini Afiq Ismail dan Wan Nurul ‘Izza Wan Nawang, 37, itu mempunyai aura ketenangan tersendiri sebaik sahaja melangkah masuk ke dalamnya.

Tidak dapat dinafikan mengenai pujian setiap kali tetamu yang bertandang ke kediaman mereka memberikan pujian kerana dekorasi kediaman itu yang ringkas dan segar seolah-olah berada di dalam rumah pameran hartanah.

Wan Nurul ‘Izza berkata, sejak membeli kediaman jenis dua tingkat di Shah Alam Selangor itu pada 2016 mereka sekeluarga tidak pernah mendiaminya kerana tinggal di rumah keluarga bagi memberi tumpuan kepada penjagaan anak-anak.

Katanya, pada tahun ini selepas anak-anak mereka sudah pun besar baharu dia dan suami bercadang untuk mendiami kediaman itu dan memulakan kerja-kerja mendekorasi kediaman berkenaan.

“Secara asasnya saya dan suami sememangnya gemarkan dekorasi yang tampak ringkas dan mempunyai aura selesa apabila berada di dalamnya. Jadi, kami ada melihat beberapa contoh kediaman di media sosial untuk dijadikan inspirasi.

“Saya tertarik dengan konsep moden klasik kerana ia lebih bersifat malar segar dan mudah untuk mengubah mood dekorasi pada masa depan kerana ia gabungan dua elemen dekorasi yang menarik,” katanya.

Katanya, dia menggunakan khidmat pereka hiasan dalaman kerana merasakan lebih berbaloi berbanding melakukannya secara sendiri (DIY) kerana khuatir kos yang dikeluarkan akan lebih banyak berbanding menggunakan khidmat profesional itu.

“Meskipun menggunakan khidmat pereka hiasan dalaman kami banyak berbincang mengenai cita rasa dan impian dekorasi yang diinginkan. Jadi, selepas hanya dua kali pertemuan dengan pereka hiasan dalaman, kerja mendekorasi terus dilaksanakan.

“Saya memaklumkan kepada pihak pereka hiasan dalaman bahawa kami inginkan sesuatu yang terasa selesa apabila berada di dalam kediaman seperti rumah contoh. Mereka memberikan beberapa contoh lukisan tiga dimensi (3D) sebagai rujukan dan boleh saya katakan apabila siap sepenuhnya tidak ubah seperti lukisan yang ditunjukkan kepada kami,” katanya.

Katanya, antara ruang yang mendapat sentuhan pereka hiasan dalaman ialah di ruang tamu, dapur, ruang makan dan bilik utama. Kos bagi keseluruhan dekorasi RM120,000 termasuk membeli pelbagai perabot yang sesuai dengan dekorasi kediaman.

“Meskipun kediaman ini banyak bermain dengan rona lembut yang mendominasi ruang di dalam kediaman tetapi saya dan suami amat gemarkan elemen yang tampak segar.

“Jadi, kami mencetuskan idea untuk mempunyai elemen hijau di dalam kediaman dengan meletakkan aksesori rona berkenaan seperti kusyen, pokok hiasan palsu dan cadar katil,” katanya.

Jelasnya, menggunakan rona cerah untuk dinding dan perabot sebenarnya memudahkan untuk mendekorasi kediaman pada masa depan kerana warna itu bersifat mudah untuk disatukan dengan warna yang lebih menonjol khasnya.

“Pada masa depan misalnya, apabila saya ingin mempunyai kelainan dalam dekorasi saya hanya perlu menukar warna pada aksesori sahaja dan tidak perlu lagi membuat dekorasi secara besar-besaran. Ia sudah cukup memberi kesan kelainan di dalam sesuatu ruang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top