
Skuad lengkap Machan FC bagi musim 2025/2026. FOTO: FB Machan FC
MACHAN FC dikenakan denda RM20,000 selepas membuat keputusan menarik diri daripada saingan Liga A1 Semi-Pro 2025/2026 ketika musim masih berlangsung.
Selain hukuman kewangan itu, kelab berkenaan turut digantung daripada menyertai mana-mana pertandingan anjuran AFL bagi musim 2026/2027.
Ketua Pegawai Operasi Amateur Football League (AFL), Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad berkata, tindakan tersebut diambil susulan keputusan Machan FC menarik diri selepas mengharungi 22 perlawanan dalam kempen liga musim ini.
Beliau menjelaskan, pihak AFL sudah berusaha mengadakan perbincangan serta mencari jalan penyelesaian bagi membantu kelab berkenaan menangani isu dihadapi, namun pengurusan Machan FC tetap dengan keputusan mereka.
“AFL menerima dan menghormati keputusan tersebut dengan berat hati. Susulan penarikan diri ini, semua perlawanan yang membabitkan Machan FC dibatalkan serta dianggap tidak sah, termasuk mata dan jaringan gol yang direkodkan sebelum ini,” katanya.
Perkembangan itu menyaksikan kedudukan liga terpaksa disusun semula apabila semua keputusan membabitkan Machan FC dibatalkan, sekali gus memberi kesan langsung kepada persaingan pasukan lain dalam carta liga.
Menurutnya, perjalanan Liga A1 Semi-Pro musim ini bagaimanapun akan diteruskan mengikut perancangan sedia ada, dengan semua aksi yang dijadualkan membabitkan Machan FC dibatalkan sepenuhnya.
Kes berkenaan juga akan dirujuk kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi pertimbangan tindakan disiplin tambahan.



