am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal ditempelak supaya tidak bertindak seolah-olah lebih Hamas daripada Hamas susulan gesaannya membantah kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di sini, hujung bulan ini.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin sebaliknya menegaskan pejuang Hamas sendiri menyokong usaha pelan damai yang digagaskan oleh Trump, biarpun ia dibuat secara bersyarat.
“Hamas menyambut baik pelan Trump, kenapa kita tak bantu, sokong pendirian ini. Kita mahu jadi lebih Hamas dari Hamas ini apa pasal. Kita bantu, kita sokong, kita ingin mencapai perdamaian di Palestin.
“Kehadiran Trump di Kuala Lumpur, kita kena lihat dari segi objektifnya (Malaysia) sebagai (Pengerusi) ASEAN. Jangan kita terlalu memikirkan soal, perkara (tidak berkait)… memang kita ambil berat mengenai apa yang berlaku di Palestin.
“Jadi Machang.. jangan jadi Hamas lebih dari Hamas,” katanya menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayshal (PN-Machang) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, kehadiran Trump ke Kuala Lumpur memberi faedah dalam pelbagai perkara termasuk ekonomi dan pelaburan, disamping platform paling terbaik untuk Malaysia dan negara sepemikiran menyampaikan pendiriannya dalam isu Palestin.
“Faedah dan hubungan dagang dan pelaburan ASEAN dan AS cukup besar. Malaysia ini dengan AS menerima pelaburan terbesar.
“Kita lihat dari sudut ekonomi, dengan pendirian tegas Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), kita optimis Trump sama dengan negara sepemikirian, Qatar, Mesir sentiasa mencari jalan perdamaian di Palestin.
Menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang), Mohamad berkata, pelan damai Trump berupaya menyaksikan pemberhentian pengeboman, genosid dan kemusnahan yang melanda bumi Gaza.
“Apa yang penting dari pelan ini, akan membuka ruang bahawa masyarakat dunia dapat menyalurkan bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza. Tidak seperti sebelum ini. Ini yang kita sambut baik. Namun ada beberapa yang perlu dilihat semula. Ada kebimbangan dalam kalangan kita dan beberapa negara, ada ‘loophole’ di sana.
“Kita ingin perdamaian secara total dan Hamas juga berpendapat pengunduran secara menyeluruh oleh tentera Israel daripada Gaza. Kita tahu juga penentuan ditentukan oleh rakyat Palestin. Itu perkara yang tidak disebut dalam pelan Trump itu,” katanya.
Dalam pada itu, menjawab soalan asal Syed Ibrahim, beliau menegaskan Malaysia kekal konsisten dengan pendekatan dasar luarnya yang antara lain berteraskan prinsip keadilan sejagat, penolakan sebarang bentuk kezaliman serta sokongan penuh kepada perjuangan rakyat Palestin.
© New Straits Times Press (M) Bhd




