Machida ukir sejarah, mara suku akhir ACLE

Machida ukir sejarah, mara suku akhir ACLE

TOKYO: Kelab Jepun, Machida Zelvia melakar sejarah apabila menempah tiket ke suku akhir Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) buat kali pertama selepas menewaskan wakil Korea Selatan, Gangwon FC 1-0 dalam aksi timbal balik pusingan 16 terbaik, hari ini.

Jaringan tunggal separuh masa pertama oleh pemain tengah, Hotaka Nakamura memastikan Machida mara dengan agregat 1-0 sekali gus meneruskan kisah dongeng kelab yang suatu ketika dahulu beraksi di liga amatur.

Kejayaan itu turut menyaksikan wakil Thailand, Buriram United mengiringi Machida ke kelompok lapan terbaik selepas menewaskan kelab Australia, Melbourne City 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas seri tanpa jaringan.

Machida yang pernah bergelut di pentas bola sepak bukan liga kurang 15 tahun lalu kini terus mencuri perhatian Asia selepas memenangi Piala Maharaja Jepun musim lalu sebelum mencipta sensasi di pentas benua.

“Kami bertekad untuk mencipta sejarah buat Machida. Ianya perlawanan yang sukar tetapi kami berjaya menulis lembaran baharu untuk kelab ini dan kini kami mahu menunjukkan sesuatu yang lebih hebat pada peringkat seterusnya,” kata Nakamura.

Machida terlebih dahulu diuji apabila pemain sayap Jepun, Yuki Soma terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan seawal minit ke-12.

Namun penggantinya, Na Sang-ho segera mencetus impak apabila menghantar hantaran lintang yang disudahkan Nakamura menerusi tandukan pada minit ke-25.

Sementara itu, Buriram beraksi dengan 10 pemain selepas pemain tengah Austria, Robert Zulj dilayangkan kad merah pada minit ke-20.

Penjaga gol Filipina, Neil Etheridge muncul wira apabila menyelamatkan dua sepakan penalti sebelum Kenny Dougall menyempurnakan sepakan penentuan kemenangan yang membawa Buriram ke suku akhir buat musim kedua berturut-turut. – AGENSI

Scroll to Top