syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) menjelaskan mereka tidak mempunyai hak untuk mengawal tindakan syarikat penerbitan lagu atau ‘music publisher’ yang mentadbir urusan berkaitan hak mekanikal.
Ketua Pegawai Eksekutif MACP, Mary Yap mengakui ramai karyawan seni yang tidak mengetahui mengenai hak mereka.
“Saya harap agar tiada salah faham kerana saya rasa masih ramai yang keliru. Ramai pencipta sebenarnya tidak tahu hak-hak yang mereka miliki.
“Hak mekanikal (mechanical rights), kebiasaannya ditandatangani dan diserahkan oleh penulis lagu kepada syarikat penerbitan muzik (music publisher) melalui kontrak.
“Ia berada di bawah bidang kuasa publisher dan MACP tidak terbabit atau mempunyai akses terhadap kontrak itu,” katanya.
Tambahnya, sekiranya pencipta sudah mempunyai penerbit atau publisher, hal berkaitan hak mekanikal diuruskan oleh pihak itu.
“Bagi hak mekanikal, MACP tidak mentadbirnya, kecuali dalam keadaan tertentu. Misalnya, ada ramai pencipta bebas atau indie yang tidak mempunyai publisher.
“Dalam kes sebegini, pencipta boleh memberikan hak sementara kepada MACP untuk mentadbir hak mekanikal digital mereka.
“Namun, sekiranya pencipta sudah mempunyai publisher, maka semua urusan berkaitan hak mekanikal akan diuruskan oleh publisher, mengikut kontrak yang ditandatangani antara mereka,” katanya.
Mary turut berkongsi mengenai hak yang berada di bawah tadbir mereka dan beberapa tugas mereka.
“Jika dirujuk kepada Akta Hak Cipta, pencipta mempunyai beberapa jenis hak, antaranya hak persembahan awam awal, hak penyampaian kepada umum, hak pengeluaran dan beberapa hak lain yang berkaitan dengan penyiaran dan penggunaan karya.
“Bagi pihak MACP, kami hanya mentadbir dua jenis hak sahaja, iaitu hak persembahan awam dan hak penyampaian kepada umum.
“Tugas MACP adalah untuk menjejak penggunaan lagu-lagu yang didaftarkan, melesenkan penggunaannya, mengutip bayaran lesen dan mengagihkan royalti kepada pemilik hak cipta yang berdaftar dengan MACP bagi dua jenis hak itu sahaja,” katanya ketika ditemui pada sidang media di pejabatnya hari ini.
Sidang media itu turut menjelaskan berkaitan isu royalti lagu Sinaran yang dibangkitkan oleh penyanyi, Datuk Nora Ariffin.
Lagu Sinaran yang dipopularkan Datuk Sheila Majid dicipta oleh Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan dan lirik oleh suami Nora, Allahyarham Johan Nawawi.
© New Straits Times Press (M) Bhd