Hanoi: Presiden Perancis Emmanuel Macron meremehkan insiden isterinya, Brigitte, dilihat menolak mukanya ketika pasangan itu tiba di Vietnam bagi memulakan jelajah Asia Tenggara, pada Isnin.
Dalam satu video, Brigitte Macron kelihatan menolak suaminya sebelum beliau menuruni pesawat presiden lewat Ahad, menyebabkan Macron tersentak ke belakang sebelum kembali tenang dan melambai ke arah jurukamera di landasan.
Brigitte kekal seketika di sebalik fiuslaj pesawat, menghalang pandangan terhadap bahasa tubuhnya.
Pasangan yang berkahwin sejak 2007 itu kemudian menuruni tangga bersama-sama, dengan Brigitte menolak lengan suaminya.
“Saya hanya bertengkar, atau lebih tepat bergurau, dengan isteri saya,” kata Macron kepada pemberita di Hanoi. “Tiada apa-apa.”
Beliau menegaskan ini bukan kali pertama dalam beberapa minggu kebelakangan kandungan video dirinya ‘diputar belit’ oleh pihak yang disifatkannya sebagai ‘orang gila’.
Macron merujuk satu video tular yang menunjukkan beliau mengambil objek putih renyuk dari atas meja di dalam kereta api ketika lawatan ke Ukraine.
Beberapa pengguna media sosial mendakwa – tanpa bukti – objek itu ialah beg kokain. Macron berkata, ia hanyalah tisu, dan pejabatnya menuduh ‘musuh Perancis’ menyebarkan berita palsu.
Terdahulu pada Isnin, seorang pegawai Elysee berkata mengenai video terbaharu itu: “Ia detik presiden dan isterinya bersantai buat kali terakhir sebelum lawatan bermula sambil bergurau. Ia satu saat keakraban.”
Lawatan Macron ke Vietnam, yang pertama oleh seorang presiden Perancis dalam hampir sedekad, diadakan ketika beliau mahu meningkatkan pengaruh Paris di bekas tanah jajahan itu.
Vietnam, yang ekonominya sangat bergantung kepada eksport, membuat konsesi kepada Amerika Syarikat dalam rundingan perdagangan bagi mengelak tarif 46 peratus.
Namun Brussels bimbang usaha Vietnam membeli lebih banyak barangan AS boleh menjejaskan Eropah.
Presiden AS Donald Trump pada Jumaat mengancam mengenakan tarif 50 peratus ke atas import dari Kesatuan Eropah, tetapi dua hari kemudian melunakkan pendiriannya dengan menetapkan semula tarikh akhir 9 Julai bagi rundingan antara Washington dan Brussels.
© New Straits Times Press (M) Bhd