am@hmetro.com.my
Jerlun: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah mengadakan perbincangan awal bagi melaksanakan projek pembinaan pagar penghadang dan kerja penyelenggaraan di terusan Sungai Korok.
Ia susulan tragedi enam sekeluarga maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas ke dalam sungai itu pada 5 Julai lalu.
Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, perbincangan itu turut mengambil kira aspek keselamatan dan keperluan penyelenggaraan sungai buatan berkenaan yang dibina sejak tahun 1970-an untuk tujuan pengairan pertanian.
“Langkah ini bukan hanya untuk keselamatan jalan raya, tetapi juga penting bagi memastikan kelancaran sistem saliran yang diselia MADA.
“Kalau diperhatikan garisan penanda itu sudah ada, dan saya percaya cadangan ini yang dikemukakan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika lawatannya tempoh hari adalah wajar dan disambut baik oleh JKR,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke tapak program penanaman padu lima musim dalam tempoh dua tahun di kawasan Muda di Batu 7, Kampung Kemboja, Ayer Hitam, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Ismail berkata penghadang jalan akan dipasang terlebih dahulu sebelum kerja menaik taraf terusan dijalankan bagi memastikan aliran air tidak terganggu dan keselamatan pengguna jalan raya terjamin.
“Kerja penyelenggaraan sungai tidak akan dilakukan dari tepi jalan, sebaliknya menerusi laluan khas yang akan dibina di bahagian bertentangan,” katanya.
Tragedi pada 7 Julai lalu meragut nyawa enam sekeluarga apabila kereta dinaiki pasangan suami isteri dan empat anak mereka terbabas ke dalam terusan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd