Maddison tersisih lawan Bodo

Maddison tersisih lawan Bodo

London: Pemain tengah Tottenham Hotspur, James Maddison dijangka tidak dapat beraksi pada separuh akhir kedua Liga Europa menentang Bodo/Glimt di Norway, awal pagi Jumaat ini selepas mengalami kecederaan lutut dalam perlawanan pertama.

Maddison dikeluarkan pada pertengahan separuh masa kedua ketika Spurs menang 3-1 Spurs ke atas pasukan Norway itu di gelanggang sendiri pada Jumaat lalu, dan menurut pengurus Ange Postecoglou, keadaannya tidak begitu meyakinkan.

“Keadaannya nampak tidak begitu baik, tetapi kami masih menunggu maklumat lanjut,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan seri 1-1 menentang West Ham United dalam aksi EPL di Stadium London, semalam,

“Kita tunggu dan lihat. Mudah-mudahan esok (hari ini) kita dapat kepastian. Ia tidak kelihatan menjanjikan, tapi saya akan tunggu dan lihat.”

Keadaan Dominic Solanke, yang turut mengalami kecederaan minggu lalu dan tidak diturunkan semalam dilaporkan lebih positif berbanding Maddison.

“Dom semakin pulih. Kami sengaja merehatkannya hari ini, tetapi pasukan perubatan yakin dia sepatutnya bersedia untuk perlawanan Khamis (awal pagi Jumaat) nanti,” tambah Postecoglou.

Pengurus Spurs itu membuat lapan pertukaran dalam kesebelasan utama semalam bagi merehatkan beberapa pemain utama menjelang perlawanan di tempat lawan, dan berpuas hati dengan keputusannya itu.

“Bukan mudah untuk membuat begitu banyak pertukaran kerana ia menjejaskan kelancaran dan rentak permainan pasukan. Tapi saya rasa usaha mereka tunjukkan hari ini memang luar biasa, mereka berdisiplin, tersusun,” katanya.

“Kami kecewa dengan gol dibolosi tetapi selain daripada itu, saya rasa kami berjaya mengekang ancaman lawan dengan baik walaupun mereka miliki barisan serangan yang kuat, dan saya rasa kami juga berbahaya ketika menyerang.

“Jadi saya gembira pemain mendapat sedikit ganjaran. Memang bukan kemenangan, tetapi sekurang-kurangnya ada ganjaran atas usaha mereka, sebab saya rasa pada hari yang sukar, mereka kendalikan situasi dengan sangat baik.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top