Riyadh: Pemain tenis Amerika Syarikat, Madison Keys, terpaksa menarik diri daripada perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Elena Rybakina di WTA Finals Riyadh, semalam akibat jangkitan virus, sekali gus menamatkan kempen musimnya lebih awal.
Madison, yang juga juara Terbuka Australia, digantikan oleh Ekaterina Alexandrova selaku pemain simpanan kedua dalam undian kejohanan berprestij akhir musim itu.
Pemain berusia 29 tahun itu sebelum ini tewas dalam dua aksi Kumpulan Serena Williams masing-masing kepada Iga Swiatek dan Amanda Anisimova, sekali gus tiada peluang untuk mara ke separuh akhir pada Jumaat ini.
Pada perlawanan menentang Amanda Isnin lalu, Madison dilihat enggan berjabat tangan selepas tamat perlawanan kerana bimbang menjangkiti pemain lawan dengan virus yang sedang dialaminya.
“Saya sangat kecewa kerana tidak berada dalam keadaan terbaik dan akhirnya terpaksa menarik diri. Ia satu pencapaian besar untuk mara sejauh ini dan saya bangga dengan musim saya tahun ini. Saya harap dapat kembali tahun depan,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.
Ekaterina, yang sebelum ini berada dalam senarai simpanan, menggantikan Madison untuk menentang Elena, manakala Mirra Andreeva, pemain simpanan pertama, memilih untuk tidak beraksi kerana tidak cergas dan akan menumpukan kepada saingan beregu bersama Diana Shnaider.
Terdapat kemungkinan Mirra dipanggil semula untuk menggantikan Jasmine Paolini, yang turut dilaporkan tidak sihat dan sudah tersingkir daripada perebutan tiket ke separuh akhir.
Aksi hari Rabu menampilkan perlawanan terakhir Kumpulan Serena Williams, dengan Elena menentang Ekaterina, manakala Iga berdepan Amanda bagi menentukan satu lagi slot ke empat terbaik.
Elena sudah mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas menjuarai kumpulan, manakala pemenang antara Iga dan Amanda akan melengkapkan senarai finalis peringkat separuh akhir.
© New Straits Times Press (M) Bhd




