Madrasah di Kuala Pilah dikaitkan GISBH, Pinta/Pintas tunggu siasatan pihak berkuasa

Madrasah di Kuala Pilah dikaitkan GISBH, Pinta/Pintas tunggu siasatan pihak berkuasa

am@hmetro.com.my

Seremban: Persatuan Institusi Tahfiz dan Pondok Negeri Sembilan (Pinta/Pintas) menunggu keputusan pihak berkuasa sebelum mengambil sebarang ketetapan berhubung keahlian sebuah madrasah di Kuala Pilah yang dikaitkan dengan Global Ikhwan & Services Berhad Holdings (GISBH).

Madrasah di Kuala Pilah itu diserbu Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) pada 12 September lalu selepas didakwa terbabit dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak.

Kelmarin, JHEAINS menahan dua individu dipercayai mudir dan pengerusi madrasah terbabit untuk siasatan kerana didakwa cuba menghidupkan ajaran tarekat Aurad Muhammadiyah.

Pengerusi Pinta/Pintas Mohd Ali Abd Kadir berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan dan mengambil tindakan sebelum pihaknya mengambil tindakan lanjut, khususnya berkaitan status keahlian dalam persatuan.

“Kami tidak berkompromi dengan mana-mana institusi naungan persatuan ini yang menyalahi undang-undang termasuk dalam isu berkaitan dengan GISBH atau ajaran al-Arqam.

“Setakat ini hanya satu daripada keseluruhan 81 institusi atau madrasah berdaftar dengan Pinta/Pintas di negeri ini yang disiasat pihak berkuasa negeri berkaitan dengan isu GISBH,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Ali berkata, madrasah yang terpalit dengan isu GSBH itu mula menjadi ahli Pinta/Pintas tahun lalu.

“Bagaimanapun, proses pendaftaran madrasah berkenaan dengan JHEAINS belum sempurna dan masih berstatus tidak berdaftar.

“Kita akan lihat keputusan pihak berkuasa terlebih dulu sebelum mengambil sebarang ketetapan berkaitan status keahlian dalam persatuan ini,” katanya.

Terdahulu, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan kerajaan negeri mengesyaki ada tiga hingga empat institusi pendidikan dan pusat kebajikan di negeri itu mempunyai kaitan dengan GISBH.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top