Madueke tinggalkan Chelsea, idam kejayaan bersama Arsenal

Madueke tinggalkan Chelsea, idam kejayaan bersama Arsenal

NAIB juara Liga Perdana Inggeris, Arsenal mengesahkan telah melengkapkan perpindahan pemain sayap England, Noni Madueke dari Chelsea dengan nilai permulaan £48.5 juta (RM276 juta), sekali gus menjadi pembelian keempat The Gunners ini.

Pemain berusia 23 tahun itu menandatangani kontrak selama lima tahun di Stadium Emirates, dengan jumlah keseluruhan yuran perpindahan dijangka mencecah lebih £50 juta (RM284 juta) termasuk klausa tambahan.

Madueke, yang menyertai Chelsea dari PSV Eindhoven pada Januari 2023 dengan nilai £30 juta (RM170 juta), meninggalkan kem latihan kelab itu di Amerika Syarikat lebih awal sebelum aksi final Piala Dunia Kelab menentang Paris Saint-Germain Ahad lalu, bagi melengkapkan perpindahannya ke bawah bimbingan Mikel Arteta.

Dalam satu hantaran di Instagram, Madueke menyifatkan perpindahan ini sebagai satu penghormatan.

“Saya rasa rendah diri dan amat bersyukur berada di sini.

” Terima kasih kepada semua yang menjayakan perpindahan ini. Saya tidak sabar untuk turun ke padang dan membalas kepercayaan yang diberikan. Ia pasti sesuatu yang istimewa,” katanya.

Sepanjang bersama Chelsea, Madueke telah membuat 92 penampilan serta menjaringkan 20 gol dan membantu kelab itu menjuarai Liga Konferensi musim lalu.

Mula mengasah bakat di akademi Crystal Palace dan Tottenham Hotspur, Madueke kemudiannya mengembangkan karier di Belanda selama empat tahun setengah, termasuk memenangi Piala Belanda bersama PSV.

Beliau turut mencipta penampilan sulung bersama skuad senior England pada Ogos 2024 dan mencatat bantuan gol kepada Harry Kane ketika menang 1-0 ke atas Andorra dalam aksi kelayakan Piala Dunia.

Sementara itu, Arteta menyifatkan kehadiran Madueke sebagai suntikan berkualiti buat barisan serangan Arsenal.

“Noni ialah pemain muda yang bertenaga dan penuh potensi. Persembahan serta statistiknya sejak beberapa musim lalu membuktikan kualiti konsistennya.

“Dia adalah antara pemain sayap paling berbakat dalam Liga Perdana Inggeris, dan walaupun masih muda, dia sudah memiliki pengalaman di peringkat kelab dan antarabangsa,” ujar Arteta.

Dalam perkembangan sama, penyokong Arsenal terbahagi pandangan terhadap perpindahan ini, dengan sebahagian daripada mereka sebelum ini melancarkan petisyen bertajuk #NoToMadueke, yang meraih lebih 5,000 tandatangan, selain vandalisme mural ‘Arteta Out’ dikesan di sekitar Stadium Emirates.

Madueke merupakan pemain kedua Arsenal yang direkrut dari Chelsea musim ini selepas penjaga gol Kepa Arrizabalaga, selain kemasukan Christian Norgaard (Brentford) dan Martin Zubimendi (Real Sociedad). Arsenal juga hampir melengkapkan dua lagi perpindahan – penyerang Viktor Gyokeres (Sporting Lisbon) dan pertahanan Valencia, Cristhian Mosquera.

Scroll to Top