KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) berbangga apabila sebuah syarikat tempatan menjadi pengeluar kicap pertama memperoleh status Biobased Accelerator (BBA) dan BioNexus.
Timbalan Menterinya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, YC Bersatu Biotech Sdn Bhd telah diiktiraf secara rasmi oleh Malaysia Book of Records, bukan sahaja satu, bahkan dua pencapaian dalam sejarah.
“Sebagai sebuah syarikat yang berasal dari Sabah, pencapai ini bukan saja menjadi kebanggaan Sabah, tetapi kebanggaan Malaysia.
“Dengan memilih product YB Bersatu Biotech, pengguna tidak hanya menerima tambahan rasa lazat dalam hidangan mereka.
“Bahkan menyokong sebuah syarikat berdedikasi kepada prinsip kelestarian dan kemajuan teknologi,” kata Alvis Loo membacakan teks ucapan Timbalan Menteri pada Pelancaran Acara Pesta Makanan di Pusat Beli-belah MyTown Cheras, di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak dan Pengarah Urusan YC Bersatu Biotech Sdn Bhd, Kelvin Han Wei Jian.
Pemecut Berasaskan Bio (BBA) adalah program membantu syarikat berasaskan bio, perniagaan mikro dan syarikat-syarikat besar dalam menyebarkan sains, teknologi, automasi, dan pelaburan strategik ke dalam operasi perniagaan mereka.
Program ini juga mengenal pasti dan menyediakan fasilitasi untuk mengatasi jurang dalam kemahiran, penggunaan teknologi, sumber kewangan, pematuhan peraturan, dan kebolehpasaran produk.
Ini memberi kuasa kepada syarikat-syarikat berasaskan bio dalam sektor pertanian, perindustrian, dan penjagaan kesihatan untuk meningkatkan rantaian nilai secara progresif, meningkatkan kecekapan dan daya saing.
Arthur juga berkata, BioNexus adalah status khas yang diberikan kepada syarikat-syarikat berkelayakan yang menjalankan aktiviti bioteknologi.
“Syarikat status Bionexus layak mendapat insentif fiskal, pembiayaan, dan jaminan lain untuk meningkatkan pertumbuhan mereka, termasuk fasilitasi pelaburan dan khidmat nasihat.
“Syarikat status Bionexus dijamin senarai keistimewaan seperti yang ditetapkan dalam bil status Bionexus jaminan.
“Status ini memerlukan insentif cukai 100 peratus sehingga 10 tahun,” katanya lagi. – MalaysiaGazette




