Rabat: Persekutuan Bolasepak Diraja Maghribi (FRMF) masih menaruh kepercayaan terhadap ketua jurulatih, Mohamed Ouahbi untuk terus membimbing pasukan menjelang Piala Dunia 2030 yang akan dianjurkan bersama Sepanyol dan Portugal.
Walaupun FRMF tidak menyatakan tempoh kontraknya secara rasmi, Ouahbi, 49, sebelum ini memaklumkan ketika dilantik pada Mac lalu bahawa perjanjiannya akan berakhir pada 2030.
Ouahbi mengambil alih tugas daripada Walid Regragui yang mencipta sejarah membawa Maghribi ke separuh akhir Piala Dunia 2022 serta mara ke final Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) pada Januari lalu.
Di bawah bimbingan Ouahbi, skuad Atlas Lions mara sehingga suku akhir Piala Dunia 2026 sebelum tewas 0-2 kepada Perancis minggu lalu.
Bagaimanapun, FRMF dalam satu kenyataan pada Khamis menegaskan mereka terus memberikan “keyakinan penuh” kepada Ouahbi untuk meneruskan tugas sebagai pengendali pasukan kebangsaan.
Ouahbi turut memiliki rekod cemerlang apabila membawa Maghribi muncul juara Piala Dunia Bawah 20 Tahun pada 2025 dan kini diberi tanggungjawab membentuk pasukan yang mampu mencabar pada Piala Dunia 2030 di laman sendiri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




