
Pan-gon bersama Kapten Harimau Malaya, Matthew Davies pada sidang media pra perlawanan kumpulan E antara Malaysia menentang Jordan sempena Piala Asia 2023 di Pusat Media Utama pada Ahad. Foto Bernama
SAAT yang dinantikan oleh semua peminat bola sepak tanah air hampir tiba menjelang pertembungan Malaysia dan Jordan pada perlawanan pertama Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub di sini esok (16 Januari, 1.30 pagi waktu Malaysia).
Pertembungan di satu daripada venue Piala Dunia 2022 itu menyaksikan pengendali dari Korea Selatan, Kim Pan-gon akan membimbing Malaysia pada penampilan pertama di Piala Asia dalam tempoh 17 tahun sejak kali terakhir ketika menjadi tuan rumah bersama pada 2007.
Di atas kertas, Jordan yang berada di ranking dunia ke-87 merupakan pasukan pilihan sementara skuad Harimau Malaya (ke-130) yang bertandang ke sini dengan harapan besar mencipta sejarah, memburu sekurang-kurangnya satu mata bagi mencerahkan peluang ke pusingan 16 terbaik.
Berdasarkan rekod pertemuan pula, Malaysia gagal mencatat kemenangan berdepan Jordan dalam lima perlawanan terakhir apabila tewas tiga dan seri dua, dengan pertemuan kali terakhir pada 2021 menyaksikan skuad The Chivalrous Ones itu menang 4-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa.



