Magpies masih teraba-raba

Magpies masih teraba-raba

Newcastle United turun ke Stadium Vitality malam ini dengan penuh tanda tanya.

Satu kemenangan saja daripada lima aksi awal musim (semua kejohanan), itupun hasil jaringan sulung Nick Woltemade ketika menewaskan Wolves 1-0, jelas menunjukkan anak buah Eddie Howe masih mencari rentak.

Lebih membimbangkan, rekod tanpa menang mereka dalam saingan liga berlanjutan hingga 11 perlawanan sebelum diputuskan oleh kemenangan ke atas Wolves.

Malangnya, momentum itu tidak kekal lama selepas ditumpaskan Barcelona 1-2 di St James’ Park dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara.

Dua gol Marcus Rashford seakan jadi tamparan hebat buat Magpies.

Kini, tekanan bertambah, bukan saja sebab rekod hambar, tapi kerana Newcastle belum pernah tewaskan Bournemouth di liga sejak Julai 2020.

Kali terakhir mereka berpesta gol di Vitality, menang 4-1, selebihnya, asyik tersekat. Howe juga pening kepala.

Yoane Wissa masih belum boleh membuat penampilan sulung akibat kecederaan, Jacob Ramsey pun sama.

Anthony Gordon pula digantung perlawanan. Jadi, harapan diletakkan kepada trio Harvey Barnes, Woltemade dan Anthony Elanga untuk mengemudi serangan.

Barisan pertahanan pun goyah, Kieran Trippier dan Fabian Schar diragui cergas selepas cedera lawan Barca.

Ia mungkin membuka ruang kepada Tino Livramento di sebelah kanan, Lewis Hall buat penampilan sulung di bahagian kiri, manakala Malick Thiaw berkemungkinan bergandingan dengan Dan Burn di tengah.

Apa pun, malam ini jadi ujian sebenar buat Howe. Kalau gagal lagi, penyokong Magpies mungkin mula persoal hala tuju pasukan yang musim lalu gah memburu slot Eropah, tapi kini macam hilang sengat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top