Maguire jadi buruan Al-Nassr, Al-Ettifaq

Maguire jadi buruan Al-Nassr, Al-Ettifaq

London: Pertahanan Manchester United, Harry Maguire berkemungkinan akan membuat perpindahan mengejut ke Liga Pro Saudi.

Pemain berusia 32 tahun itu menyertai United pada 2019 dengan yuran perpindahan sebanyak £80 juta (RM453.7 juta), rekod perpindahan tertinggi bagi pertahanan England yang masih kekal hingga kini — dan kontraknya akan tamat pada Jun ini.

Menurut laporan The Mirror, Maguire kini menjadi sasaran dua kelab Saudi, iaitu Al-Nassr — kelab bekas rakan sepasukannya di United, Cristiano Ronaldo — serta Al-Ettifaq.

Maguire boleh mula berunding dengan kelab lain sebaik sahaja jendela perpindahan Januari dibuka, dan dengan tawaran lumayan dari Timur Tengah, dia mungkin tergoda untuk berpindah.

United sebelum ini mengaktifkan klausa lanjutan setahun dalam kontraknya pada musim panas lalu — sesuatu yang didakwa dilakukan tanpa perbincangan dengannya — dan masih belum jelas sama ada kelab itu akan menawarkan kontrak baharu kepada bekas kapten mereka itu.

Maguire berkata mengenai situasi kontraknya pada Ogos lalu:

“Klausa itu berada dalam tangan mereka, jadi saya tiada pilihan di situ. Tiada sebarang perbincangan. Mereka hanya aktifkan, dan kontrak saya pun dilanjutkan. Tahun ini, jelas sekali kontrak saya tamat hujung tahun.

“Saya pasti kelab sudah maklumkan musim panas lalu bahawa saya tidak boleh meninggalkan kelab dalam apa-apa keadaan, walaupun ada kelab lain yang bertanya mengenai status saya dan kedudukan kontrak saya.

“Saya yakin dalam beberapa bulan akan datang kami akan duduk berbincang mengenai hala tuju kami dan sama ada mereka mahu melanjutkan kontrak saya, atau sebaliknya jendela perpindahan akan dibuka semula pada Januari.

“Sudah tentu saya ada sesuatu dalam fikiran tentang apa yang saya mahu lakukan dan siapa saya mahu jadi. Saya tidak mahu dedahkan kepada semua orang, tapi United ialah kelab yang hebat untuk bermain, dan anda akan bodoh jika mahu keluar daripadanya terlalu cepat.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top