WASHINGTON – Mahkamah Agung Amerika Syarikat pada Isnin menarik balik sekatan terhadap dasar pentadbiran Trump berhubung deportasi migran ke “negara ketiga”.
Keputusan 6-3 yang dibuat oleh Mahkamah Agung yang dikuasai majoriti konservatif itu adalah susulan perbicaraan berkaitan usaha pentadbiran Trump untuk mempercepat proses deportasi pendatang ke negara lain selain negara asal mereka, lapor Xinhua.
Ketiga-tiga hakim liberal membantah keputusan itu, dengan Hakim Sonia Sotomayor memberi amaran: “Dalam perkara yang melibatkan hidup dan mati, lebih baik bertindak dengan berhati-hati. Namun dalam kes ini, kerajaan memilih pendekatan sebaliknya.”
Pentadbiran Trump menyambut baik keputusan Mahkamah Agung. Penolong Setiausaha Hal Ehwal Awam Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS), Tricia McLaughlin menyifatkan keputusan itu sebagai “kemenangan untuk keselamatan dan kesejahteraan rakyat Amerika.”
“DHS kini boleh melaksanakan kuasa sahnya untuk menghantar pulang pendatang tanpa izin ke mana-mana negara yang bersedia menerima mereka,” katanya.
Pada 18 April lalu, Hakim Mahkamah Daerah AS di Boston, Brian Murphy mengeluarkan perintah melarang penghantaran pulang pendatang ke negara ketiga tanpa memberi mereka masa yang mencukupi untuk mengemukakan bantahan.
Bagaimanapun, bulan lalu pentadbiran Trump memohon kepada Mahkamah Agung untuk menggantung injunksi itu.
Peguam Negara AS, D. John Sauer, yang mewakili kerajaan dalam kes di Mahkamah Agung, menuduh mahkamah daerah menghalang usaha kerajaan untuk menghantar pulang “antara pendatang tanpa izin paling berbahaya.” – Bernama