surayaroslan@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibenarkan meminda notis usul berhubung permohonan mereka untuk membekukan aset bernilai £132 juta (RM758.2 juta) di London, United Kingdom (UK) yang didakwa dimiliki isteri kepada Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan keluarganya.
Aset-aset itu ialah dua bangunan komersial di St Mary Axe dan One Crown Court, tiga kediaman mewah di Bryanston Square, Bryanston Mews dan Lancaster Gate, dua unit kediaman di Gloucester Place dan satu akaun bank CAF Bank Limited (UK) didakwa milik The Ilham Foundation.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid hari ini memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Maziah Mohaide memaklumkan kepada mahkamah bahawa pindaan itu membabitkan penambahan dalam butiran dalam notis usul itu.
“Permohonan secara ex-parte (sebelah pihak) adalah untuk meminda notis usul pada 30 Mei lalu iaitu menambah butiran alamat penuh berserta nombor hak milik mengikut format pihak penguatkuasa di UK dan meminda butiran tarikh serta nilai pembelian ke atas harta-harta tidak alih dalam notis usul itu,” katanya.
Dalam pada itu, peguam Syed Afiq Syed Albakri yang mewakili Na’imah berkata, enam syarikat termasuk The Ilham Foundation memohon untuk menjadi pencelah dalam permohonan SPRM bagi membekukan aset-aset terbabit.
Bagaimanapun, Maziah berkata, pendakwaan membantah permohonan enam syarikat itu untuk menjadi pencelah.
Azhar kemudian mengarahkan pihak pendakwaan memfailkan afidavit balasan bagi permohonan mencelah itu pada 25 Julai ini manakala enam syarikat terbabit perlu menfailkan afidavit balasan pada 6 Ogos ini selain menetapkan pengurusan kes seterusnya pada 8 Ogos ini.
Sebelum ini, SPRM mengesahkan pihaknya membekukan tujuh hartanah dan satu akaun bank milik Na’imah adalah bagi mengelakkan ia dilupuskan ketika siasatan sedang dijalankan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada tindakan awal yang dilakukan suruhanjaya itu bagi melaksanakan siasatan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd