Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menghadiri perbicaraan berkaitan dua kes sivilnya.
Permohonan itu dibenarkan panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Wong Kian Kheong, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dan Datuk Nadzarin Wok Nordin.
Peguam Najib, Wan Mohammad Arfan Wan Othman memfailkan permohonan secara exparte bagi mengeluarkan perintah mengemukakan (OTP) Najib dari penjara untuk menghadiri perbicaraan itu.
Hadir sama Peguam M Naresh.
Rayuan pertama berkaitan saman fitnah yang difailkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad terhadap Najib, bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk menggugurkan Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Mohamed Apandi daripada mendengar kes berkenaan.
Rayuan kedua difailkan Najib susulan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas Peguam Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.
Rayuan dalam kes saman Dzulkefly ditetapkan pada 24 Februari manakala rayuan Najib pada 13 Mac.
Pada 2022, Dzulkefly memfailkan saman atas kapasiti peribadi mendakwa, Najib memuat naik satu hantaran fitnah di Facebooknya pada 24 Ogos 2024 mengenai isu kronisme.
Pada Julai tahun lepas, Arziah menolak permohonan Dzulkefly untuk menggugurkan beliau daripada mengendalikan kes itu.
Dalam perkembangan berasingan, Najib memohon memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Ahmad Terrirudin yang kini merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan, berkaitan Titah Adendum yang membenarkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjalani hukuman penjara di rumah.
Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib itu pada September tahun lepas, sekali gus mendorong Najib memfailkan rayuan berhubung perkara berkenaan.
Najib, 72, sedang menjalani hukuman penjaran enam tahun berhubung kes SRC International Sdn Bhd selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan dan permohonan semakannya.
Pada Februari 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara terhadap Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Beliau turut disabitkan atas kesalahan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram berkautan 1Malaysia Development Berhada (1MDB) dan dihukum penjara 15 tahun. Najib telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.
Pada prosiding hari ini, Wan Arfan tidak mengemukakan bantahan terhadap kehadiran Hakim Wong dan Hakim Mohd Firuz dalam panel selepas kedua-duanya membuat pendedahan.
Hakim Wong berkata beliau sebelum ini pernah menjadi panel Mahkamah Rayuan bagi rayuan Najib terhadap bekas Peguam Negara Tommy Thomas, dan isterinya pernah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Semakan Undang-Undang semasa Ahmad Terrirudin menjadi Peguam Negara.
Hakim Mohd Firuz memaklumkan bahawa beliau antara hakim yang menyokong keputusan majoriti Mahkamah Rayuan pada Januari tahun lepas bagi rayuan Najib berhubung Titah Adendum.
© New Straits Times Press (M) Bhd



