Mahkamah benarkan syarikat vaksin AstraZeneca batal saman 12 individu

Mahkamah benarkan syarikat vaksin AstraZeneca batal saman 12 individu

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan syarikat AstraZeneca Sdn Bhd untuk membatalkan saman oleh 12 individu berkaitan dakwaan suntikan vaksin Covid-19 itu boleh menyebabkan kematian tahun lalu.

12 individu itu merupakan sebahagian daripada 42 plaintif yang turut mengemukakan saman terhadap Kerajaan Malaysia, Kementerian Kesihatan (KKM) dan mantan menterinya, Khairy Jamaluddin, Ketua Pengarah Kesihatan ketika itu, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Pfizer Malaysia Sdn Bhd dan Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd (Sinovac).

Antara yang mengemukakan saman ini termasuklah kumpulan waris penerima vaksin yang meninggal dunia selepas suntikan tersebut.

Bagaimanapun, hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Suzana Muhamad Said membatalkan saman 12 individu itu yang bukan terdiri daripada penerima vaksin syarikat berkenaan.

Dalam pada itu, mahkamah juga membenarkan permohonan semua defendan untuk mendapatkan dokumen tambahan dan butiran lanjut daripada kesemua plaintif.

Ini termasuklah maklumat jenis vaksin yang diterima, pusat vaksinasi yang terbabit, masa dan tarikh vaksin diberikan serta laporan perubatan dan rekod kematian.

Sebelum ini, kesemua plaintif mendakwa KKM telah memberikan deklarasi tidak sah dengan mengelak satu tindakan diambil dengan kesan sampingan suntikan Covid-19.

Selain menuntut ganti rugi am dan ganti rugi khas, kesemua mereka juga menuntut kesemua defendan itu bertanggungjawab terhadap kesan dan komplikasi suntikan Covid-19 tersebut. – MalaysiaGazette