Bangkok: Sebuah mahkamah di Thailand mengeluarkan waran tangkap terhadap hartawan media, pemilik bersama pertandingan ratu cantik Miss Universe, Anne Jakapong Jakrajutatip atas dakwaan penipuan bernilai AS$930,000 (kira-kira RM3.85 juta), kata seorang pegawai mahkamah kepada AFP semalam.
Waran itu dikeluarkan oleh Mahkamah Sivil Bangkok Selatan pada Selasa lalu selepas Jakapong gagal hadir ke mahkamah untuk satu perbicaraan kes.
Tindakan itu diambil susulan seorang pakar bedah plastik menuduh beliau melakukan penipuan dan menyembunyikan maklumat ketika memujuknya melabur dalam syarikat Jakapong, JKN Global Group pada 2023.
Dalam kes bernilai 30 juta baht (kira-kira RM3.85 juta) itu, mahkamah menyatakan bahawa Jakapong menjemput plaintif melabur walaupun “mengetahui ketidakupayaannya untuk memulangkan wang dalam tempoh yang ditetapkan.”
Mahkamah juga menyebut bahawa kegagalan Jakapong gagal hadir ke mahkamah “boleh ditafsirkan sebagai melarikan diri.”
Berikutan itu, mahkamah menjadualkan semula kes berkenaan pada 26 Disember.
Walaupun begitu, beberapa media tempatan melaporkan bahawa Jakapong sudah berlepas ke Mexico di tengah-tengah khabar angin mengenai masalah kewangan yang semakin membelenggu beliau.
Isu perundangan terhadap hartawan media ini timbul selepas pertandingan Miss Universe tahun ini di Bangkok, yang diselubungi pelbagai kontroversi.
Siri skandal semasa pertandingan itu termasuk amukan pengacara lelaki terhadap pemenang akhirnya, Miss Mexico, Fatima Bosch serta dakwaan berhubung isu seksisme.
Mengenai perkara itu, Organisasi Miss Universe menyatakan dalam satu kenyataan awal tahun ini bahawa “prosiding undang-undang ini adalah sepenuhnya berasingan” daripada operasi pertandingannya.
Pertandingan Miss Universe pernah dimiliki oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. JKN Global Group milik Jakapong membelinya dengan harga AS$20 juta (kira-kira RM82.7 juta) pada 2022, tetapi kemudian menjual separuh daripada pegangan sahamnya kepada firma Mexico Legacy Holding Group USA dengan harga AS$16 juta (kira-kira RM66.1 juta).
Selain itu, pada 2024, Bursa Saham Thailand menyahsenarai saham JKN selepas syarikat itu didapati gagal mengemukakan penyata kewangan dan memalsukannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




