rnoraina@hmetro.com.my
Shah Alam: Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini, mengeluarkan waran tangkap terhadap pengasas program motivasi rumah tangga eHati dan seorang kaunselor, kerana gagal hadir pada pertuduhan kes tanpa sebarang sebab.
Perintah itu dikeluarkan Hakim Syarie Dr Zainal Abidin Kusmin selepas pihak pendakwaan memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap Nur Diyanah Md Tahir dan Zatul Asmah Mat Isa.
Mahkamah turut memerintahkan carian imigresen dilakukan ke atas pengasas program motivasi kontroversi itu yang beralamat di Damansara.
Hakim Syarie juga memberi kuasa kepada pihak penguat kuasa Jabatan Agama Islam menahan kaunselor yang juga seorang pegawai sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di utara Semenanjung, yang beralamat di Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Kedua mereka berdepan pertuduhan mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
Terdahulu, penjamin kepada Nur Diyanah yang hadir ke mahkamah memberitahu tidak mengetahui keberadaan rakannya itu.
“Saya sudah lama tidak berhubung dengannya dan tidak tahu di mana dia berada sekarang. Saya mengenalinya sejak 2021 dan jadi penjamin sebab kasihan kerana tiada ahli keluarganya yang datang.
“Saya minta maaf kerana tidak tahu sebagai penjamin perlu memastikan kehadirannya,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 5 Mac 2026.
Pada 14 November lalu, suami isteri termasuk pengasas program motivasi rumah tangga eHati yang berdepan pendakwaan di mahkamah dipercayai melarikan diri ke luar negara.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar dilaporkan berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek dipercayai melarikan diri sehari sebelum pertuduhan dilaksanakan.
Sebelum ini, polis mendedahkan seramai 95 individu dipanggil memberi keterangan berhubung penganjuran motivasi rumah tangga di sebuah pusat konvensyen di Seksyen 15 di sini, pada September tahun lalu.
Siasatan polis turut mendapati berlaku adegan bogel dalam acara Queen’s Night dalam penganjuran itu membabitkan empat individu yang juga fasilator bagi program.
© New Straits Times Press (M) Bhd




