Mahkamah perintah kubur pelatih Palapes, Syamsul Haris digali semula

Mahkamah perintah kubur pelatih Palapes, Syamsul Haris digali semula

Shah Alam: Mahkamah Tinggi Shah Alam perintah kubur pelatih Palapes UTM Skudai, Syamsul Haris Shamsudin digali semula.

Hakim, Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan ibu Allahyarham Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45.

Ummu Haiman Bee membuat permohonan itu bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan.

Mangsa, Syamsul Haris, meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi, Johor selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Tembakan Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram.

Sebelum ini, media melaporkan hasil siasatan jawatankuasa kematian pegawai kadet PALAPES UTM mendapati tiada sebarang unsur penderaan dalam insiden berkenaan.

Mangsa meninggal dunia ketika menjalani latihan di PULADA Ulu Tiram pada 28 Julai lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui jawatankuasa siasatan itu mendapati semua saksi termasuk pegawai dan jurulatih mengesahkan tiada kelakuan atau tindakan berbentuk penderaan sepanjang tempoh latihan.

Katanya, latihan yang diadakan dari 27 Julai hingga 2 Ogos itu dilaksanakan mengikut garis panduan serta prosedur yang ditetapkan.

Pada 1 Ogos lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan akan menjalankan siasatan terperinci berhubung punca kematian seorang pelatih PALAPES itu.

[Berita lanjut menyusul]

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top