Mahkamah Rayuan AS halang Trump pecat Lisa Cook

Mahkamah Rayuan AS halang Trump pecat Lisa Cook

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berdepan satu lagi kekalahan undang-undang dalam usahanya menyingkirkan anggota Lembaga Rizab Persekutuan (FED) Lisa Cook selepas mahkamah rayuan pada Isnin menghalang pemecatannya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Trump sebelum ini cuba menyingkirkan Cook atas dakwaan beliau membuat kenyataan palsu dalam satu atau lebih permohonan gadai janji, dakwaan yang dinafikan Cook.

Mahkamah rendah di Washington minggu lalu menghentikan sementara usaha Trump itu dan kes berkenaan kini berkemungkinan dibawa ke Mahkamah Agung.

Cook, yang menyertai lembaga FED pada Mei 2022 dengan tempoh perkhidmatan hingga Januari 2038, menafikan tuduhan tersebut dan berhujah bahawa Trump tidak mempunyai kuasa untuk memecatnya.

Menerusi peguamnya, Cook berkata sekalipun terdapat kesilapan, ia hanya berkaitan pinjaman perumahan peribadi bertahun-tahun sebelum beliau dilantik.

Mahkamah rendah sebelum ini memutuskan bahawa presiden hanya boleh memecat seorang anggota lembaga dengan alasan yang sah, dan tingkah laku sebelum pelantikan tidak boleh dijadikan asas.

Kepentingan awam dalam mengekalkan kebebasan FED turut menyokong pelantikan semula Cook, menurut hakim.

Mahkamah rayuan menolak permohonan Trump lewat Isnin.

Keputusan itu dibuat hanya beberapa jam sebelum mesyuarat dasar dua hari FED, yang dijangka mengumumkan pemotongan kadar faedah pertama sejak Disember 2024.

Cook kini dijangka menyertai mesyuarat itu.

Kadar penanda aras kekal pada paras 4.25 hingga 4.5 peratus, satu keadaan yang mengecewakan Trump, yang berulang kali mendesak pemotongan kadar dan turut menuntut peletakan jawatan pengerusi Fed Jerome Powell.

FED memainkan peranan penting dalam kestabilan kewangan AS, dan keputusannya memberi kesan kepada pasaran global.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top