Mahkamah Rayuan kurangkan hukuman penjara guru sekolah agama GISBH kepada lima tahun

Mahkamah Rayuan kurangkan hukuman penjara guru sekolah agama GISBH kepada lima tahun

rnoraina@hmetro.com.my

Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini mengurangkan hukuman penjara seorang guru sekolah agama milik Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) daripada 10 tahun kepada lima tahun atas kesalahan menganiaya tiga kanak-kanak dengan merotan dan menekan dada menggunakan lutut, dua tahun lalu.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azman Abdullah membenarkan rayuan Muhammad Barur Rahim Hisam, 25, untuk mengurangkan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen.

Azman yang bersidang bersama Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid turut mengarahkan bon cagaran dikurangkan daripada RM10,000 kepada RM3,000.

Ketika menyampaikan keputusan mahkamah, Azman berkata, pihaknya mendapati empat pertuduhan yang dihadapi perayu di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi sebelum ini, adalah selamat.

Katanya, ia tidak memprejudiskan perayu yang sudah diterangkan mengenai sifat dan akibat pengakuan salah, semasa pertuduhan dibacakan terhadapnya.

“Kami membenarkan sebahagian daripada rayuan hukuman oleh pihak perayu iaitu satu kes hukuman penjara dua tahun dikurangkan kepada satu tahun dan bon cagaran daripada RM10,000 kepada RM3,000.

“Bagi kes seterusnya, hukuman pemenjaraan tiga tahun kepada dua tahun dengan bon cagaran daripada RM10,000 kepada RM3,000.

“Manakala dua lagi pertuduhan masing-masing dikurangkan kepada satu tahun dengan bon cagaran RM3,000,” katanya semasa prosiding hari ini.

Mahkamah bagaimanapun mengekalkan hukuman pemenjaraan secara berasingan dan tempoh bon juga dikekalkan selama lima tahun.

Pada 26 September 2024, Mahkamah Sesyen Klang, Selangor menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada Muhammad Barur atas tindakan merotan tiga kanak-kanak dan menekan dada salah seorangnya seperti video yang tular sebelum ini.

Hakim Noridah Adam menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik empat pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan empat pertuduhan, Muhammad Barur sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap tiga kanak-kanak lelaki berusia 10 dan 11 tahun didakwa menganiaya mereka dengan merotan yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Selain itu, dia didakwa menekan dada menggunakan lutut ke atas kanak-kanak sama berusia 10 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di dua premis termasuk sebuah sekolah agama di sekitar Bukit Raja, Klang Utara di sini, antara Jun, Julai dan September 2024.

Justeru, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top