Mahkamah Russia namakan organisasi politik Navalny 'ektremis'

Mahkamah Russia namakan organisasi politik Navalny 'ektremis'

MOSCOW: Sebuah mahkamah di Russia menamakan organisasi politik pengkritik Kremlin yang dipenjarakan, Alexei Navalny, sebagai ‘ekstremis’ dan melarangnya daripada beroperasi di Russia, satu lagi tamparan kepada pembangkang yang dilancarkan menjelang pilihan raya parlimen.

Perintah itu akan menyebabkan pengakhiran kepada organisasi antirasuah Navalny, yang membawa perhatian kepada rasuah di peringkat tertinggi dan rangkaian pejabat politiknya yang menjangkau warga Russia kebanyakan di luar Moscow.

“Adalah didapati organisasi ini tidak hanya menyebarkan maklumat yang menyebabkan kebencian dan permusuhan terhadap pegawai kerajaan tetapi juga melakukan tindakan ekstremis,” kata jurucakap pendakwa raya, Alexei Zhafyarov, di luar mahkamah.

Kenyataan di Mahkamah Bandar Moscow yang diedarkan kepada wartawan selepas sesi 12 jam yang diadakan secara tertutup itu memaklumkan, keputusan hakim itu berkuat kuasa serta merta.

Navalny, 45, yang dipenjarakan awal tahun ini sekembalinya ke Russia dari Jerman, di mana dia pulih daripada serangan beracun, berikrar untuk terus berjuang walaupun dikenakan perintah itu.

Dalam satu muat naik di Instagram, dia mengakui penyokongnya akan memerlukan perubahan cara bekerja dan menggesa mereka untuk ‘menyesuaikan diri’.

“Bagaimanapun, kami tidak akan berundur daripada tujuan dan idea kami. Ini adalah negara kami dan kami tidak mempunyai negara lain.”

Pendakwa raya pada April memohon rangkaian pejabat serantau Navalny dan Yayasan Anti Rasuah (FBK) miliknya dilabelkan ‘ekstremis’, dengan menyatakan kumpulan itu merancang pemberontakan dengan sokongan daripada Barat.

Dalam sesi yang diadakan secara tertutup itu, peguam FBK berkata, mereka sudah memohon perbicaraan itu dibuat secara umum dan Navalny dipanggil sebagai saksi, yang mana ia adalah antara permohonan yang ditolak.

Berikutan keputusan itu, mereka memaklumkan akan membuat rayuan dalam masa 10 hari yang diperuntukkan. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top