Mahkamah Tinggi benar wanita cabar penukaran agama kepada Islam

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp
Seorang wanita memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau mengamalkan agama Buddha sejak mencapai umur dewasa.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan seorang wanita mencabar penukaran agamanya kepada Islam yang dibuat oleh bapanya secara unilateral semasa beliau masih kanak-kanak.

Hakim Mariana Yahya membuat keputusan itu susulan komunikasi melalui e-mel antara peguam wanita terbabit dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mewakili Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhasaan mengesahkan bahawa mahkamah memberi kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman.

Tarikh 8 Apr ditetapkan bagi pengurusan kes seterusnya.

Wanita berkenaan, yang dilahirkan pada 1980 berkata, bapanya menukar agamanya sewaktu beliau berumur 10 tahun.

Pada waktu itu ibu bapanya dalam proses bercerai.

Beliau berkata, ibunya tidak pernah memeluk agama Islam dan tidak pernah bersetuju dengan bapanya yang menukar agama beliau secara unilateral.

“Sejak saya mencapai umur dewasa sehingga hari ini, saya mengamalkan agama Buddha dan tinggal bersama ibu.

“Saya mengesahkan kenyataan berkanun yang menyebut bahawa saya berniat untuk menolak penggunaan nama Islam dan mahu menggunakan nama Cina kelahiran saya,” katanya.

Katanya, sejak Ogos tahun lepas, beliau pergi ke JPN Ipoh untuk menukar MyKad, tetapi pegawai bertugas menolak untuk membatalkan perkata “Islam” padanya.

Pegawai itu memberitahu saya supaya mengemukakan perintah mahkamah syariah bagi menyokong permohonan itu,” katanya.

Beliau berkata, peguamnya mengeluarkan surat tuntutan kepada jabatan terbabit pada Okt 2020 supaya mengeluarkan MyKad baharu kepadanya, tetapi tiada jawapan diberi.

Justeru, beliau memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah terhadap pendaftar muallaf Selangor supaya membatalkan sijil pemelukan agama Islam yang dikeluarkan.

Wanita itu juga mahu JPN mengeluarkan MyKad baharu kepadanya tanpa perkataan “Islam” tercatat padanya.

AGC sebelum ini membantah percubaan wanita terbabit memohon semakan kehakiman dengan berkata, mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar urusan mahkamah syariah.