Mahkamah Tinggi benarkan semakan, pertuduhan terhadap Emraz Travel dikembalikan

Mahkamah Tinggi benarkan semakan, pertuduhan terhadap Emraz Travel dikembalikan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret yang sebelum ini melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) syarikat pengendali pakej umrah dan pelancongan, Emraz Travel & Tours Sdn. Bhd. daripada tuduhan gagal mematuhi perintah untuk membayar balik wang pelanggan berjumlah RM31,580.

Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan semakan yang dikemukakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Pada 16 Februari lalu, Majistret Farah Nabihah Muhamad membuat keputusan DNAA terhadap syarikat itu atas alasan pihak pendakwaan perlu mendapatkan kebenaran dari Mahkamah Tinggi di bawah Seksyen 471 Akta Syarikat 2016 disebabkan syarikat itu telah digulungkan.

Syarikat itu diwakili dua pengarahnya yang juga suami isteri iaitu Datuk Zulkarnain Endut, 45 dan Datin Mazuin Mustafa, 45.

Syarikat itu sebelum ini didakwa telah gagal mematuhi perintah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) untuk membayar balik tuntutan wang berjumlah RM31,580 kepada pelanggan, Marsitah Ab. Rahman di Pejabat TTPM di Tingkat 16, Sunway Putra Place di sini, pada 15 Februari 2024.

Pada prosiding hari ini, Hakim Nurulhuda Nur’aini menyatakan tindakan pendakwaan jenayah tersebut tidak memerlukan kebenaran di bawah Seksyen 471 Akta Syarikat 2016 kerana ia berbeza daripada tindakan pemulihan hutang yang diperuntukkan di bawah seksyen berkenaan.

Menerusi penghakiman ringkas yang dibacakan, Hakim itu menyatakan, Seksyen 471 itu perlu dibaca bersama Seksyen 470 yang menyentuh mengenai tindakan pemulihan hutang termasuk prosiding berkaitan petisyen penggulungan syarikat dan pemfailan bukti hutang.

“Menurut mahkamah, tuntutan oleh pengadu dalam kes berkenaan (syarikat) hendaklah diteruskan melalui proses pemfailan bukti hutang dan tidak menjejaskan prosiding jenayah yang dimulakan pihak pendakwaan.

“Sehubungan itu, mahkamah membenarkan semakan berkenaan dan mengembalikan semula pertuduhan terhadap syarikat terbabit serta mengarahkan kes dikembalikan ke Mahkamah Majistret,” katanya.

Ketika ditemui pihak media selepas prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya KPDN, Mohd. Sophian Zakaria berkata, keputusan mahkamah hari ini menjadikan kes itu sebagai kes pertama di negara ini yang mana syarikat yang telah digulung masih boleh didakwa di mahkamah.

Kes ditetapkan untuk sebutan di Mahkamah Majistret pada 24 Jun ini.

Untuk rekod, syarikat itu pernah didakwa di Mahkamah Majistret Seremban atas 51 petuduhan gagal mematuhi perintah award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) membayar balik tuntutan wang berjumlah RM473,730 kepada 17 orang mangsa, pada 2024.

Susulan itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya membatalkan lesen Emraz Travel berkuatkuasa 11 Mac 2024.

Pada 2 April tahun sama pula, Lembaga Tabung Haji (TH) menggantung lesen syarikat berkenaan dalam usaha melindungi kebajikan bakal jemaah haji berikutan aduan awam mengenai perkhidmatan umrah mereka. – UTUSAN

Scroll to Top