Mahkamah Tinggi putuskan pengecualian nikotin bawah Akta Racun tidak rasional, keputusan Menteri Kesihatan dicabar

Mahkamah Tinggi putuskan pengecualian nikotin bawah Akta Racun tidak rasional, keputusan Menteri Kesihatan dicabar

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, memutuskan tindakan Menteri Kesihatan dan kerajaan yang mengecualikan cecair dan gel rokok elektronik daripada senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952 adalah tidak rasional.

Hakim Datuk Aliza Sulaiman membuat keputusan itu selepas mendapati pengecualian yang dimasukkan dalam Perintah Racun (Pindaan Senarai Racun) 2023 dibuat tanpa rundingan sewajarnya dengan Lembaga Racun.

Beliau berkata, keputusan mengecualikan cecair dan gel nikotin bagi rokok elektronik daripada kawalan Akta Racun dibuat lebih menjurus kepada faktor ekonomi susulan cadangan pengenaan duti eksais terhadap produk berkenaan.

“Mahkamah berpuas hati bahawa keputusan responden pertama (Menteri Kesihatan) dalam membuat pengecualian yang dicabar didorong terutamanya oleh alasan ekonomi sebelum pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), dan ia adalah satu keputusan yang tidak rasional.

“Responden pertama melanggar kewajipan untuk melindungi kesihatan awam, gagal bertindak mengikut komitmen antarabangsa Malaysia di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-Kanak dan Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO FCTC) untuk mencegah dan mengurangkan ketagihan nikotin apabila beliau membuat perintah yang dicabar dan memasukkan pengecualian tersebut,” katanya ketika membacakan penghakiman melalui Zoom di sini, hari ini.

Dalam penghakimannya, Aliza berkata, mahkamah turut mendapati Menteri Kesihatan ketika itu gagal menjalankan perundingan yang “bermakna dan berkesan” dengan Lembaga Racun sebelum perintah pengecualian itu dibuat.

Katanya, mesyuarat Lembaga Racun pada 29 Mac 2023 sudah menolak cadangan pengecualian terbabit, namun tiada perbincangan lanjut dibuat selepas keputusan itu dimaklumkan kepada menteri sebelum perintah itu tetap dilaksanakan pada 31 Mac 2023.

Mahkamah juga menerima hujahan bahawa ketika pengecualian itu dibuat, terdapat kelompangan undang-undang (legal lacuna) dalam mengawal selia produk vape dan rokok elektronik mengandungi nikotin sehingga Akta 852 berkuat kuasa pada 1 Oktober 2024.

Hakim berkata, mahkamah bagaimanapun tidak perlu memutuskan isu keperlembagaan Seksyen 6 Akta Racun 1952 memandangkan dua isu utama berhubung ketidakrasionalan keputusan dan kegagalan rundingan sewajarnya sudah mencukupi untuk melupuskan permohonan itu.

Sehubungan itu, mahkamah membenarkan permohonan semakan kehakiman difailkan tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai pemohon dan memutuskan tiada perintah kos dikenakan kerana ia membabitkan kepentingan awam.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi membenarkan semakan kehakiman oleh tiga NGO bagi mencabar keputusan Menteri Kesihatan dan kerajaan yang mengecualikan cecair dan gel vape daripada senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952.

Tiga NGO itu ialah Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MKTM), Pertubuhan Green Lung Malaysia (MGLA) dan Voice of Children (VOC).

Peguam, K Shanmuga mewakili tiga NGO berkenaan selaku pemohon, manakala Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan mewakili Menteri Kesihatan dan kerajaan sebagai responden.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top