Mahkamah tolak saman Ferrari terhadap syarikat minuman tempatan

Mahkamah tolak saman Ferrari terhadap syarikat minuman tempatan

Rahmat@nst.com.my

Kuala Lumpur: Ikon kereta berkuasa tinggi Itali, Ferrari SpA (Ferrari), yang terkenal dengan kejayaan Formula Satu dan lambang kuda legendanya, kalah dalam perbicaraan di mahkamah berhubung kes cap dagangan menentang sebuah syarikat minuman tenaga tempatan berkaitan logo kuda berkembar.

Mahkamah Tinggi di sini menolak tindakan undang-undang Ferrari terhadap Sunrise-Mark Sdn Bhd, memutuskan bahawa logo WEE POWER milik syarikat itu tidak serupa sehingga boleh mengelirukan dengan tanda dagangan terkenal Ferrari dan boleh diteruskan untuk pendaftaran.

Hakim Adlin Abdul Majid menjelaskan dakwaan Ferrari mengenai potensi kekeliruan adalah tidak berasas.

Ferrari selaku plaintif memfailkan saman pemula terhadap Sunrise-Mark untuk mengetepikan keputusan Pendaftar Cap Dagangan, yang menolak bantahan mereka dan membenarkan permohonan cap dagangan syarikat itu tahun lalu.

Ferrari berhujah bahawa cap dagangan Sunrise-Mark, yang memaparkan dua kuda berdiri sambil berhadapan antara satu sama lain dengan huruf W tebal di antaranya dan perkataan WEE POWER di bawah, melanggar hak eksklusif mereka ke atas logo kuda tunggal yang digunakan pada kereta, barangan dan penjenamaan globalnya.

Ferrari juga cuba memperkecilkan perkataan WEE POWER dengan berhujah bahawa istilah POWER sudah disisihkan dalam pendaftaran cap dagangan, dan perkataan WEE terlalu umum untuk dianggap unik.

Bagaimanapun, mahkamah dalam keputusannya bertarikh 30 Mei tidak bersetuju dengan plaintif atas alasan bahawa satu-satunya persamaan antara kedua-dua tanda itu ialah kuda.

“Tanda plaintif ialah tanda peranti dengan seekor kuda berdiri, manakala tanda defendan (Sunrise-Mark) mengandungi dua kuda berdiri yang saling berhadapan.

“Tanda defendan tidak hanya tertumpu pada kuda yang berdiri kerana ia mengandungi huruf besar W di antara kepala kedua-dua kuda dan perkataan WEE POWER di bawah kuda-kuda itu.

“Saya menerima penjelasan defendan bahawa perkataan WEE berasal daripada nama pengasas defendan, Wee Juan Chien, dan tidak merujuk kepada takrifan biasa perkataan wee dalam bahasa Inggeris.

“Saya mendapati tidak mungkin defendan berniat untuk menjenamakan minuman tenaganya dengan perkataan yang bermaksud ‘kuasa yang sangat kecil’ atau ‘kuasa yang sangat awal’,” katanya.

Adlin berkata, mahkamah mendapati tiada kemungkinan munasabah bahawa seseorang yang membeli minuman tenaga akan mengelirukannya dengan kenderaan mewah Ferrari.

“Plaintif dan defendan terbabit dalam industri yang berbeza, dengan plaintif dalam industri automotif mewah manakala defendan berurus niaga dalam barangan boleh guna.

“Kedua-dua jenis produk tidak bersaing antara satu sama lain, dan pelanggan plaintif serta pelanggan defendan tidak mungkin bertindih.

“Saya mendapati tidak mungkin pengguna biasa akan melihat tanda defendan dan membentuk tanggapan bahawa ia serupa dengan tanda plaintif,” katanya.

Mahkamah juga memerintahkan pengeluar kereta itu membayar kos mahkamah.

Peguam PC Kok dan Ng Pau Chze mewakili plaintif manakala YY Ho dan Amirah Najihah Ameruddin mewakili defendan.

Ā© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top