am@hmetro.com.my
Seremban: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak saman pemula yang difailkan wanita terhadap Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) bagi mendapatkan pengisytiharan dirinya sebagai bukan beragama Islam.
Peguam Danial Farhan Zainul Rijal yang mewakili MAINS memaklumkan, Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris membuat keputusan itu dalam prosiding yang berlangsung secara dalam talian.
Beliau berkata, mahkamah menolak permohonan wanita berusia 47 tahun itu dengan kos sebanyak RM4,000.
“Mahkamah membuat keputusan berdasarkan dokumen dan kenyataan pemohon yang berulang kali mengakui beragama Islam di dalam permohonan kad pengenalan, perkahwinan dan perceraian sekali gus menunjukkannya beragama Islam.
“Mahkamah turut mengambil kira bahawa rekod dokumentasi berhubung pengislaman pemohon ketika berusia empat tahun mengikut ibu bapanya ketika itu, termasuk Kad Perakuan Masuk Islam Pemohon yang menunjukkannya memohon memeluk agama Islam melalui ibu bapanya,” katanya.
Tambahnya, perkara itu selaras mengikut Peraturan No 2 Masuk Islam (Selangor) di bawah Enakmen 1952 yang menyatakan rekod pengenalan diri adalah bukti penting dan konklusif yang tidak boleh diketepikan semata-mata melalui dakwaan amalan peribadi seseorang.
Tambah beliau, mahkamah turut memutuskan bahawa isu yang dibawa pemohon tidak boleh diterima sebagai tuntutan ‘ab initio’ atau dakwaan bahawa individu berkenaan tidak pernah menganut agama Islam.
“Hakim turut merujuk keseluruhan fakta-fakta dan menyatakan bahawa kes ini di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah dan bukan Mahkamah Sivil.
Pada 23 Mac 2023, wanita itu melalui peguam S Karthigesan memfailkan saman pemula dengan menamakan tiga responden iaitu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), MAINS dan kerajaan Malaysia.
MAINS turut diwakili peguam Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Ain Sakinah, Hariz Md Yusoff dan Isyraf Rusydi Mohd Fauzi.
JPN dan kerajaan pula diwakili Peguam Kanan Persekutuan Amalina Zainal Mohtar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




