Mahkamah warta pihak ketiga punyai kepentingan, lucut hak RM169 juta didakwa milik Ismail Sabri

Mahkamah warta pihak ketiga punyai kepentingan, lucut hak RM169 juta didakwa milik Ismail Sabri

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen di sini hari ini, mengeluarkan warta pihak ketiga kepada mana-mana orang yang mempunyai kepentingan ke atas wang berjumlah RM169 juta didakwa milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Hakim Suzana Hussin mengeluarkan warta pihak ketiga itu selepas mahkamah dimaklumkan bahawa Ismail Sabri dan bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus tidak berhasrat mencabar prosiding berkenaan.

Mahkamah kemudian mengeluarkan warta pihak ketiga terbabit mengikut Seksyen 41(2) Akta SPRM 2009.

Dalam kes berkenaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon perintah mahkamah untuk melucut hak wang yang disita daripada Mohammad Anuar, kepada Kerajaan Malaysia.

Wang yang dimohon untuk dilucut hak oleh Pendakwa Raya itu terdiri daripada RM14,772,150; SG$6,132,350; US$1,461,400 dan CHF3 juta (Swiss Franc); EUR12,164,150; JPY363,000,000 (Yen); GBP£50,250; NZ$44,600; AED34,750,000 (Emirati Dirham) dan AUD352,850.

Permohonan dibuat di bawah Seksyen 41(1) Akta SPRM 2009 setelah berpuas hati bahawa wang yang disimpan oleh Mohammad Anuar adalah milik Ismail Sabri dan berkait dengan suatu kesalahan di bawah Seksyen 36(2) akta sama.

Suzana dalam keputusan beliau, berkata mahkamah menerima maklum bahawa Mohammad Anuar selaku responden pertama dan Ismail Sabri selaku responden kedua tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap permohonan itu.

“Saya benarkan untuk kita mengeluarkan satu warta pihak ketiga sekiranya terdapat pihak ketiga ada kepentingan terhadap harta-harta yang disenaraikan itu”

“Saya kekalkan tarikh bicara (untuk pihak ketiga hadir di mahkamah) pada 1 Oktober ini,” katanya.

Warta pihak ketiga merujuk kepada proses di mana mahkamah mewartakan notis untuk memaklumkan kepada mana-mana pihak yang mungkin mempunyai hak atau kepentingan terhadap harta yang sedang disita atau dirampas oleh pihak berkuasa.

Pewartaan notis itu bagi membolehkan pihak berkepentingan terbabit untuk tampil ke mahkamah pada hari yang akan ditetapkan kemudian bagi memberikan alasan mengapa harta berkenaan tidak sepatutnya dilucut hak oleh kerajaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat memaklumkan kepada mahkamah, pada 28 Ogos lalu, responden pertama dan kedua melalui peguam belanya menghantar surat kepada mahkamah.

Beliau berkata, kandungan surat itu menyatakan bahawa responden pertama dan kedua tidak berhasrat untuk meneruskan mencabar permohonan yang difailkan pihaknya.

“Dan mereka juga menyatakan tidak berhasrat hadir ke mahkamah bagi tarikh sebutan yang telah ditetapkan.

“Saya pohon untuk mahkamah mengesahkan kandungan surat itu kepada kedua-dua responden, ” katanya.

Sementara itu, peguam bela, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata responden telah memaklumkan mahkamah pada 22 Ogos lalu, pihaknya telah menghantar representasi kepada Pendakwa Raya.

Amer Hamzah berkata, susulan itu pihaknya memaklumkan mahkamah melalui surat bertarikh 28 Ogos dan turut mengesahkan kandungan surat bahawa mereka tidak berhasrat meneruskan atau mencabar permohonan Pendakwa Raya.

Sehubungan itu, Mahadi memohon mahkamah mengeluarkan warta itu dan menyatakan untuk cuba menyegerakan proses berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top