BEKAS bintang Manchester City, Riyad Mahrez menangkis dakwaan Cristiano Ronaldo bahawa Liga Pro Saudi lebih baik daripada Liga Perancis iaitu Ligue 1 serta sudah berada dalam kelompok lima liga bola sepak terbaik dunia.
Mahrez antara tonggak ternama dari pentas Eropah yang tertarik menyertai Liga Pro Saudi sama seperti Ronaldo selepas pengambilalihan empat kelab utama liga berkenaan oleh Dana Pelaburan Awam (PIF).
Beliau menyertai Al Ahli pada 2023 dan kini sudah beraksi dua musim di sana.
Ronaldo beberapa kali mempersoalkan tahap kualiti dan daya saing Ligue 1, malah membandingkannya dengan Liga Pro Saudi yang menurutnya lebih unggul.
“Liga Saudi lebih baik daripada Ligue 1, sudah tentu. Perancis hanya ada PSG. Yang lain tidak menyerlah. Cuba berlari dalam cuaca 38, 39 atau 40 darjah dan tengok,” katanya.
Ronaldo turut mendakwa Ligue 1 hanya mempunyai satu pasukan benar-benar bersaing manakala selebihnya tidak lagi kompetitif, selain menegaskan Liga Pro Saudi kini antara liga teratas dunia.
Bagaimanapun, Mahrez mengakui Liga Pro Saudi semakin meningkat tetapi menolak tanggapan bahawa ia sudah mengatasi atau setanding dengan liga utama Perancis.
“Tidak. Saya rasa lima liga besar Eropah berada di depan, kemudian barulah kita boleh mula bersaing dengan liga-liga lain.
“Kita tidak terlalu jauh, saya rasa. Selepas itu, matlamatnya bukan untuk jadi liga terbaik dunia sekarang. Kami lihat kepada jangka panjang.
“Mereka seperti saya yang datang awal ini adalah sebahagian daripada permulaan pengembaraan tersebut. Kami ibarat perintis, membantu mengukuhkan liga ini.
“Dan sejujurnya, sepanjang dua musim saya di sini, saya dapat rasakan peningkatan pada pasukan, jurulatih, taktikal serta organisasi.Â
“Mereka sedang berusaha ke arah itu dan saya percaya mereka akan sampai. Usaha sedang dibuat dan keinginan mereka memang tinggi,” katanya.