Mahu bayar ganti rugi RM300,00, Akmal Saleh buka bidaan Honda X-ADV, ikan tilapia

Mahu bayar ganti rugi RM300,00, Akmal Saleh buka bidaan Honda X-ADV, ikan tilapia

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh, membuka bidaan bagi dua aset kesayangannya iaitu motosikal Honda X-ADV dan ikan tilapia ternakan bagi membantu menjelaskan ganti rugi serta kos berjumlah RM300,000 seperti yang diperintahkan mahkamah.

Hormati keputusan mahkamah

Menerusi satu kenyataan, beliau menjelaskan bahawa dirinya menghormati keputusan mahkamah dan bersedia memikul sepenuhnya tanggungjawab untuk menjelaskan jumlah berkenaan.

Akmal turut menghargai sokongan orang ramai yang menitipkan kata-kata semangat dan doa, termasuk cadangan untuk membuka tabung sumbangan bagi membantunya menyelesaikan bayaran tersebut.

Usaha jual aset sebelum terima bantuan

Walau bagaimanapun, beliau memilih untuk berusaha sendiri terlebih dahulu dengan menjual aset miliknya sebelum menerima bantuan daripada orang lain.

Menurutnya, jumlah RM300,000 itu sangat besar buat dirinya dan simpanan yang ada masih belum mencukupi untuk menampung keseluruhan bayaran berkenaan.

Justeru, beliau memutuskan untuk membuka bidaan bagi motosikal Honda X-ADV dan ikan tilapia ternakannya, yang disifatkan mempunyai nilai sentimental tersendiri.

“Sejujurnya juga, RM300,000 itu sangat besar bagi diri saya. Apabila dihitung segala simpanan yang ada, jumlahnya masih belum mencukupi.
“Sebab itu, dengan berat hati, saya membuka bidaan untuk dua aset kesayangan saya:
1. Motosikal Honda X-ADV.
2. Ikan tilapia ternakan saya.
“Inilah dua aset yang telah habis dibayar dan boleh saya jual. Saya tidak mempunyai tanah atau rumah yang boleh dijual untuk mencukupkan jumlah ini,” tulisnya.

Kumpul duit lunas tanggungjawab

Kedua-dua aset itu juga merupakan antara miliknya yang telah selesai dibayar dan boleh dijual bagi mengumpulkan wang untuk menjelaskan tanggungjawab berkenaan.

Akmal turut menjelaskan bahawa dirinya tidak mempunyai tanah atau rumah untuk dijual bagi mencukupkan jumlah tersebut.

Susulan daripada itu, beliau menyatakan, mereka yang berminat untuk menyertai bidaan, beliau memaklumkan bahawa deposit RM100 perlu dimasukkan ke akaun yang dinyatakan sebelum resit pembayaran dihantar bersama maklumat aset yang ingin dibida serta jumlah tawaran.

Deposit berkenaan akan dipulangkan sepenuhnya sekiranya bidaan tidak berjaya.

Dalam masa sama, Akmal turut menzahirkan penghargaan kepada semua yang terus mendoakan dan memberikan sokongan kepadanya, sambil meminta agar mereka tidak berasa serba salah sekiranya tidak mampu membeli atau memberikan bantuan kewangan.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh membayar ganti rugi keseluruhan RM300,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dalam kes saman fitnah berhubung kenyataan video yang dimuat naik di media sosial pada September 2024.

Sumber: Facebook Akmal Saleh

Scroll to Top