Mahu berehat

Mahu berehat

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kalau namanya penghibur, semestinya kerja menghiburkan peminat sangat diutamakan dengan rangkaian lagu sedap didengar dan boleh ‘sing along’ bersama-sama.

Itulah dilakukan penyanyi Indonesia, Cakra Khan, 33, dalam Cakra Khan Divine Concert di Plenary Hall, Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.

Kira-kira 3,000 penonton hadir menyaksikan konsert yang berlangsung hampir tiga jam itu dengan memuatkan 26 lagu popular, termasuk kemunculan beberapa penyanyi undangan.

Sebagai pembuka konsert, Cakra menghiburkan penonton dengan beberapa lagu iaitu Setelah Kau Tiada, Persinggahanmu, Mencari Cinta Sejati dan Kau Memilih Dia.

“Saya mulakan persembahan dengan lagu mengenai percintaan kerana tahu setiap pasangan yang bercinta pasti akan cuba buat terbaik dalam perhubungan. Tapi, segalanya masih ketentuan takdir.

“Bagaimanapun, dalam lagu saya ia lebih mengisahkan cinta tidak kesampaian. Walaupun sudah cuba dijaga dengan sebaiknya, tetapi pada akhirnya kita tidak dapat juga,” katanya.

Cakra meneruskan lagi persembahan dengan lagu seperti Nanti dan Rindu Tak Bersuara yang didedikasikan kepada bapanya, Allahyarham Hermana iaitu insan penting dalam hidupnya.

“Arwah bapa saya adalah individu pertama yang mahu saya jadi penyanyi. Dia sentiasa memberikan saya semangat dan tidak pernah jemu menyokong setiap apa yang saya lakukan.

“Saya masih ingat lagi ketika di kampung dulu, bapa akan bawa naik motosikal untuk kami hadir ke majlis perkahwinan itu dan saya akan menyanyi di sana. Selain itu, saya juga cuba sertai pelbagai pertandingan nyanyian.

“Saya juga pernah nyanyi di tepi jalan. Apapun, saya percaya kejayaan yang saya peroleh sekarang ini adalah hasil kerja keras dan sokongan ibu bapa dan keluarga,” katanya.

Menurut Cakra, dia turut belajar melalui segala proses itu dengan ‘enjoy’ dan mengikut cara sendiri. Ini kerana, baginya pengalaman adalah proses terbaik dalam kehidupan setiap orang.

Antara lagu dinyanyikan Cakra ialah secara solo dan duet dengan penyanyi undangan ialah Adalah Aku, Tak Sejalan, Layar, Take The Pain, Cahaya Seluruh Cinta, Kepada Hati, Terlanjur Cinta.

Tidak hanya itu, Cakra menyanyikan juga lagu Masing-Masing, Hal Hebat, Kamu Adalah, Mencintaimu, Treasure, Never Felt So Good, September, Kekasih Bayangan Harus Terpisah dan I Will Always Love You.

Penyanyi undangan pada malam itu ialah Trio XL, Titi DJ, Marsha Milan dan Ade Govinda yang berjaya melengkapkan keceriaan suasana konsert.

Cakra juga mengumumkan dia akan berehat seketika daripada membuat konsert di Malaysia selepas tiga tahun berturut-turut mengadakan persembahan di sini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top