Mahu bina identiti tepat

Mahu bina identiti tepat

Syuhada Sukapeli

am@hmetro.com.my

PENYANYI dan pelakon muda, Ahmad Syafiq, 25, mengakui rezekinya lebih menyerlah dalam bidang lakonan berbanding nyanyian walaupun bakatnya dikesan menerusi pertandingan realiti di televisyen.

Menurut Syafiq, dia masih belum menemui lagu yang benar-benar menaikkan namanya sebagai penyanyi dan menyifatkan dirinya sedang dalam proses mencari identiti seni yang tepat.

“Setakat ini lagu-lagu saya belum ada rezeki untuk jadi ‘hits’. Lagu terakhir saya Bila Hatiku Rindu pun biasa saja sambutannya, walaupun ada dimainkan di beberapa platform radio,” katanya.

Katanya, antara sebab yang mungkin menjejaskan penerimaan terhadap nyanyiannya adalah kerana tona suaranya sering disamakan dengan penyanyi popular, Khai Bahar.

“Saya minat lagu-lagu rock kapak. Suara saya pula jenis tinggi dan ada orang kata macam suara Khai Bahar. Mungkin sebab itu orang kurang kenal saya sebagai penyanyi berbeza,” katanya.

Namun, pelakon drama Aku Bukan Ustazah itu tidak berputus asa dan terus aktif dalam bidang lakonan selepas memenangi program realiti TV3, Lagu Cinta Kita.

“Selepas menang, barulah saya dapat tawaran lakonan dan sebagainya. Rezeki saya memang lebih ke arah itu,” katanya.

Kini, Syafiq memberi tumpuan penuh kepada lakonan sambil perlahan-lahan membina nama dan jenama dalam industri hiburan.

“Saya juga baru nak cuba ceburi bidang perniagaan sebab seperti yang selalu disebut orang lama, menyanyi dan berlakon saja tak cukup untuk berjaya. Ia lebih kepada membina ‘branding’,” katanya.

Pada masa sama, dia menolak untuk mencipta kontroversi demi meraih perhatian kerana ingin menjaga nama baik keluarga.

“Niat saya masuk industri ini untuk bahagiakan mak ayah. Jadi, kalau boleh, saya elakkan kontroversi atau gimik murahan. Saya percaya orang akan nampak usaha dan bakat kita,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top