Mahu cantik dan selesa rumah sewa didiami

Mahu cantik dan selesa rumah sewa didiami

surayaroslan@mediaprima.com.my

BIARPUN hanya rumah sewa, itu bukan alasan untuk Siti Shukiha Bakar, 35, dan suami, Ameen Salehuddin, 35, tidak menjadikannya indah serta selesa didiami.

Bagi pasangan berkenaan yang menyewa rumah teres satu tingkat di Sepang, Selangor, setiap sudut kediaman mempunyai nilai sentimental.

Hasil kreativiti dan kesabaran, mereka menghiasnya sedikit demi sedikit, berdasarkan bajet serta masa yang ada.

“Kami tinggal di rumah sewa teres satu tingkat lot tepi. Saiz dalam rumah kira-kira 750 kaki persegi, ia juga memiliki dua bilik air.

“Kelebihan rumah ini ialah, ia ada tanah agak luas di sebelah dan belakang kediaman,” katanya.

Menariknya, di bahagian belakang rumah, Siti Shukiha membina satu laman kebun kecil yang menjadi tempat keluarga meluangkan masa santai bersama.

“Walaupun rumah sewa, saya cuba jadikan setiap sudut terasa selesa dan ada nilai sentimental tersendiri,” ujarnya.

Dekorasi Bermula Sejak 2016

Projek dekorasi rumah ini bermula sejak 2016, sebaik Siti Shukiha berkahwin dan berpindah ke rumah pertama mereka.

“Sejak itu, saya terus berkembang dari satu rumah ke satu rumah, sambil belajar apa yang sesuai dengan gaya hidup kami sekeluarga,” katanya.Dekorasi dilakukan secara berperingkat, bukan sekali gus.

“Saya buat sedikit demi sedikit ikut bajet dan masa. Ia memang satu proses panjang, tapi akhirnya rumah ini jadi ruang paling selesa untuk kami,” katanya.

Cabaran Dekorasi Sendiri

Ibu tiga anak itu berkata, dia mengakui kebanyakan dekorasi dilakukan sendiri bersama suami.

“Hanya kerja-kerja teknikal seperti pendawaian diupah kepada yang mahir bagi menjamin keselamatan.

“Namun, proses menghias rumah bukan mudah. Cabaran dekorasi sendiri ialah masa, sebab suami bekerja.

“Ada kalanya hasil tidak menjadi seperti dirancang, kita banyak belajar daripada kesilapan, barulah tahu bukan senang nak bagi ruang nampak cantik dan tenang dalam masa sama.

“Semua perkara perlu difikirkan, warna dinding, susun atur, bajet, mahu beli baru atau pasang sendiri (DIY),” katanya.

Akuinya, cabaran itu yang menjadikan pengalaman menghias rumah lebih bermakna.

“Rasa puas bila lihat hasil tangan sendiri,” katanya.

Gaya Muji dan Korean Minimalis

Menariknya, rumah sewa itu dihias dengan gabungan konsep Muji dan Korean minimalis.

“Ruang tamu dan bilik anak saya lebih kepada gaya Muji, manakala dapur pula berkonsepkan Korean minimalis,” katanya.

Katanya lagi, idea asal datang daripada dirinya sendiri, namun banyak juga inspirasi diperoleh daripada vlog Korea dan Jepun.

“Saya tak tiru bulat-bulat, tapi saya suka wujudkan identiti sendiri supaya orang kenal gaya dekorasi saya,” jelasnya.

Katanya, tema Muji menjadi pilihan kerana tampil ringkas, kemas dan tenang.

“Ia praktikal untuk kehidupan seharian sebagai suri rumah sepenuh masa,” katanya.

Warna dan Susunan Jadi Fokus Utama

Bagi memastikan ruang rumah yang berbentuk panjang tidak kelihatan sempit, Siti Shukiha membahagikan ruang tamu kepada tiga bahagian utama.

“Saya pilih warna cerah supaya nampak luas dan menenangkan. Perabot pula saya pilih warna putih dan kayu natural supaya timbul konsep Muji itu,” katanya.

Akuinya, pemilihan warna dan susunan ruang adalah aspek paling penting.

“Kalau terlalu banyak warna, ruang akan nampak tak teratur dan ‘messy’,” katanya.

Dekorasi Ikut Bajet

Menariknya, semua transformasi ini dilakukan tanpa tekanan kewangan.

“Saya buat sedikit demi sedikit ikut kemampuan. Kalau ada bajet lebih, baru saya ubah atau tambah deko. Kalau belum ada bajet, saya biarkan dulu,” katanya.

Katanya, walaupun kelihatan ringkas, sebenarnya banyak juga kos dikeluarkan.

“Saya pentingkan kualiti dan kesesuaian konsep. Alhamdulillah, hampir semua ruang sudah lengkap pada 2025, cuma ada satu bilik yang masih belum siap sepenuhnya,” katanya.

Impian Miliki Rumah Sendiri

Biarpun masih menyewa, Siti Shukiha tidak patah semangat untuk terus menghias.

“Saya sangat berharap suatu hari nanti dapat memiliki rumah sendiri.

“Doakan saya dimurahkan rezeki supaya boleh terus berkongsi idea dekorasi dan beri inspirasi kepada orang lain,” katanya.

Rezeki Dari Hobi

Akuinya, daripada hobi menghias rumah, kini suri rumah itu mula menerima pelbagai tawaran dan kerja sampingan berkaitan dekorasi.

“Daripada rumah sewa inilah saya mula dapat pendapatan sampingan dan ‘paid review’.

“Ramai juga yang kenal dan ‘follow’ saya sebab perkongsian dekorasi rumah ini. Alhamdulillah, daripada ruang kecil inilah, lahirnya rezeki dan inspirasi besar dalam hidup saya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top