am@hmetro.com.my
PERJALANAN menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Pengurusan Korporat di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bukan sesuatu yang mudah apabila perlu melalui dua kehamilan sepanjang tempoh belajar.
Bagaimanapun, pelakon dan pengacara Yana Samsudin berjaya menamatkan pengajian dianggapnya sebagai satu momen manis yang menggabungkan pengorbanan sebagai ibu serta komitmen terhadap dunia pendidikan.
Yana berkata, dia memulakan pengajian pada Jun 2023 dan sepatutnya boleh menamatkannya dalam tempoh setahun setengah, namun dia disahkan hamil sebaik sahaja mendaftar dan mengikuti beberapa sesi kelas.
“Apabila saya hamil, kemudian bersalin, saya ambil cuti selama enam bulan, satu semester juga saya berehat,” kongsinya.
Selepas kembali menyambung pengajian, Yana sekali lagi dikurniakan rezeki hamil anak keempat menjadikan perjalanan akademiknya semakin mencabar.
“Jarak anak ketiga dan keempat memang rapat, dalam setahun setengah sahaja jaraknya.
“Dahulu saya susah hendak dapat anak, jarak empat tahun. Kali ini rezeki cepat. Jadi, walaupun pening dan mabuk sepanjang saya hamil, saya tetap teruskan juga,” katanya.
Yana atau nama sebenarnya, Norliana Samsudin berkata, dia sepatutnya menamatkan pengajian sarjananya awal tahun ini, namun universiti menetapkan semua pelajar diraikan hujung tahun.
“Walaupun tarikh konvokesyen sama dengan tarikh jangkaan saya melahirkan anak keempat, saya tidak boleh tangguh lagi pengajian, memang kena jalan serentak,” katanya.
Mengulas kaedah pembelajaran, Yana berkata, semua kelas dijalankan secara dalam talian pada Sabtu dan Ahad, namun tugasan serta peperiksaan tetap perlu diselesaikan seperti biasa.
“Setiap bulan saya ada satu subjek. Kalau saya tunda kelas, bulan berikutnya saya perlu siapkan dua tugasan, dua ujian. Memang mencabar juga,” katanya.
Walaupun sudah berjaya dalam dunia seni dan keusahawanan, Yana memilih untuk menyambung pengajian kerana minat mendalam terhadap ilmu dan keinginan untuk menjadi contoh terbaik buat anak-anaknya.
Menurutnya, minat belajar sudah tertanam sejak remaja meskipun ketika itu kerjayanya dalam dunia seni sedang memuncak.
“Ketika berusia 17 tahun, saya sibuk buat ‘road tour’, tetapi saya tetap mahu habiskan SPM, kemudian saya dapat sambung belajar di UiTM.
“Ketika itu cita-cita saya cuma satu, saya nak ibu dan ayah dapat lihat saya naik pentas ambil skrol,” katanya.
Menurut Yana, walaupun pernah menerima nasihat tidak perlu menyambung pelajaran kerana sudah bergelar artis dan mampu berdikari, dia tetap berpegang pada prinsip bahawa pelajaran adalah hadiah terbaik untuk keluarga dan masa depan.
“Saya pernah cakap kepada seseorang, sebagai ayah tentu dia nak tengok anaknya naik atas pentas terima skrol semasa hari konvokesyen, sebab itulah saya teruskan juga belajar sampai habis,” katanya.
Selepas menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan, Yana sebenarnya merancang menyambung pengajian lebih awal, namun dia menunggu suaminya yang ketika itu baru menamatkan diploma dalam bidang perniagaan.
“Suami ajak sambung ‘master’ sama-sama. Ketika itu, saya baru buka bisnes baharu tetapi bila dia kata ‘jom’, saya ikut suami untuk sambung ‘master’.
“Dia ambil Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan, saya pula ambil Ijazah Sarjana Pengurusan Korporat kerana kami nak menambah ilmu pengetahuan dari dua bidang berbeza,” katanya.
Tambah Yana, meskipun sudah 10 tahun bergelar usahawan dengan syarikat sendiri, dia tetap mahu mendapatkan ilmu secara formal di universiti.
“Saya pernah susah dan saya mahu anak-anak tahu nilai usaha, bukannya ingat ibu dan ayah senang sahaja. Saya mahu mereka lihat sendiri saya belajar dan bergraduasi.
“Saya selalu cakap kepada anak-anak, kalau mommy ada ‘master’, anak mommy kena lebih daripada mommy,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Yana berkata, segala cabaran dilalui dianggap pengalaman berharga kerana ia bukan sahaja menguatkan semangatnya, tetapi membuktikan bahawa ibu bekerja mampu mencapai apa sahaja jika berusaha bersungguh-sungguh.
Selepas menamatkan pengajian di peringkat sarjana, Yana mengakui sedang memikirkan langkah seterusnya termasuk kemungkinan menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
Menurut Yana, dia sudah menerima beberapa tawaran daripada pensyarah, namun masih meneliti bidang yang ingin diterokai.
“Saya memang ada niat nak sambung PhD, cuma sekarang saya tengah fikir bidang apa yang saya nak sambung. Tengoklah tawaran mana yang sesuai nanti,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, keputusannya untuk menyambung pelajaran ke peringkat PhD bergantung kepada keadaan semasa terutama selepas melalui proses bersalin.
“Sekarang saya baharu sahaja melahirkan anak keempat, tidak sampai sebulan pun, jadi kena bertenang dahulu, uruskan keluarga dan bisnes yang sedang berjalan.
“Apabila semuanya stabil, baru saya putuskan untuk sambung PhD atau tidak,” katanya yang turut berbincang dengan suaminya mengenai hala tuju pendidikan mereka.
Terdahulu, Yana menghadiri majlis konvokesyennya di UMPSA pada 12 November lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




